Perkongsian Hadis 30

Puasa dan Al-Quran Menjadi Pemberi Syafaat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ

Daripada Abdullah bin Amru RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : "Puasa dan al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat nanti. Puasa akan berkata : "Wahai Rabb ku, saya telah menahannya dari makan dan nafsu syahwatnya, kerananya perkenanankan aku untuk memberi syafaat kepadanya (kepada orang yang berpuasa)." Dan al-Quran berkata : "Saya telah melarangnya dari tidur pada malam hari, kerananya perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya." Baginda bersabda : "Maka syafaat keduanya diperkenankan." (HR Ahmad No: 6338) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Puasa dan Al-Quran akan menjadi penolong dan pemberi syafaat kepada pencinta dan pengamalnya pada hari Kiamat.

2.  Orang yang berpuasa semasa di dunia, Puasa akan  menolongnya dan memberi syafaat kerana semasa di dunia dahulu, orang yang berpuasa telah menahan diri dari makan dan minum di siang hari serta mengekang nafsunya.

3.  Orang yang menyibukkan diri dengan Al-Quran  (membaca hingga terpaksa menyengkang mata di malam hari), Al-Quran akan menjadi syafaat serta penolong di hari kiamat.

4. Ambilah kesempatan melaksanakan ibadat puasa dengan iman dan ikhlas serta membaca Al-Quran sebanyaknya.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyebutkan:

حَدَّثَنِي أَبُو أُمَامَةَ الْبَاهِلِيُّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِقْرَءُوالْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

“Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang kepada kamu pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada ahlinya” (HR Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

5. Sempena mengingati peristiwa Nuzul al-Quran pada bulan Ramadan ini, marilah kita berusaha menyemarakkan budaya al-Quran seperti yang dilaksanakan di Negeri Johor. 

6. Rebut peluang bertadarus sepanjang Ramadan berbaki ini dan membanyakkan membaca al-Quran.  

Berusahalah menjadikan al-Quran sebagai hidayah dan panduan hidup.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Syafaat Al-Quran Untuk Kedua Ibu Bapa

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ، قَالَ: أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَعَلُّمِ الْقُرْآنِ، وَحَثَّنَا عَلَيْهِ وَقَالَ:"إِنَّ الْقُرْآنَ يَأْتِي أَهْلَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحْوَجَ مَا كَانُوا إِلَيْهِ، فَيَقُولُ لِلْمُسْلِمِ: أَتَعْرِفُنِي؟ فَيَقُولُ: مَنْ أَنْتَ؟ فَيَقُولُ؟ مَنْ أَنْتَ؟ فَيَقُولُ: أَنَا الَّذِي كُنْتَ تُحِبُّ، وَتَكْرَهُ أَنْ يُفَارِقَكَ الَّذِي كَانَ يَسْحَبُكَ وَيُدْنِيكَ، فَيَقُولُ: لَعَلَكَ الْقُرْآنُ، فَيُقْدَمُ بِهِ إِلَى رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَيُعْطَى الْمُلْكَ بِيَمِينِهِ وَالْخُلْدَ بِشِمَالِهِ، وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ السَّكِينَةُ، وَيُنْشَرُ عَلَى أَبَوَيْهِ خَلَّتَانِ لا يَقُومُ لَهُمْا الدُّنْيَا أَضْعَافًا، فَيَقُولانِ: لأَيِّ شَيْءٍ كُسِينَا هَذِهِ، وَلَمْ يَبْلُغْهُ أَعْمَالُنَا؟ فَيَقُولُ: هَذَا بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ".

Dari Abi Umamah RA katanya, Rasulullah SAW telah memeritahkan kami agar mempelajari Al-Quran.  “Belajarlah kamu Al-Quran, ia kelak di hari kiamat akan datang pada ahlinya ketika sangat berhajat kepadanya. Maka ia datang dalam bentuk yang seindah-indahnya, lalu bertanya: kenalkah engkau kepadaku? Maka dijawab: Siapakah engkau?.Akulah yang kamu cinta dan kamu sanjung, bahkan kamu telah bangun malam untukku, dan biasa membacaku di siang hari. Lalu ia berkata: Mungkin engkau Al-Quran?. Kemudian menuntun orang tersebut mengadap kepada Allah, lalu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kiri, dan dipasang mahkota di atas kepalanya dan kedua ayah bondanya yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda. Maka keduanya bertanya: Dari manakah kamu mendapatkan ini? Padahal amal kami tidak sampai ke sini. Lalu dijawab: Ini kamu dapat kerana anakmu telah mempelajari Al-Quran maka kamu berdua diberi ini”  (HR Tabrani No: 4408)
  
Pengajaran:

1.  Mempelajari Al-Quran adalah suatu tuntutan kepada setiap Muslim.

2.  Al-Quran pada hari kiamat akan datang dalam bentuk yang indah kepada orang yang "ahli" Al-Quran (semasa hidup sentiasa mendampingi – membaca, memahami dan menjadikan petunjuk). Membacanya siang dan malam. 

3.  Pembaca Al-Quran akan memperoleh syafaat (pertolongan) daripada Al-Quran

4.  Ibu bapa pembaca Al-Quran juga akan mendapat syafaat antaranya diberi perhiasan mahkota di atas kepalanya yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda. 

وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ ، وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لَا يُقَوَّمُ لَهُمَا أَهْلُ الدُّنْيَا ، فَيَقُولَانِ : بِمَ كُسِينَا هَذِهِ ؟ فَيُقَالُ : بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : اقْرَأْ وَاصْعَدْ فِي دَرَجَةِ الْجَنَّةِ وَغُرَفِهَا ، فَهُوَ فِي صُعُودٍ ، مَا دَامَ يَقْرَأُ هَذًّا كَانَ أَوْ تَرْتِيلًا

“Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia. Lalu mereka bertanya: “Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?”. Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari Al-Quran?”. Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya”. Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al_Qur’an)”.(HR Ahmad No: 22950) Status: Sanad Hasan.

Ayuh kita mempelajari, membaca, memahami dan menghayati serta beramal dengan Al-Quran agar menjadi syafaat buat kita dan kedua ibu bapa.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan 

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Dari ‘Aisyah Radhiyallahuanha, Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda. (HR Bukhari No: 1886) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan  beribadat kepada Allah

2.  Mengikut Imam Syafie,  Itikaf  boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat.

3.  Imam Maliki mensyaratkan iktikaf sekurang-kurangnya sehari semalam dan yang paling baik ialah tidak kurang daripada 10 hari

4.  Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

5.  Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan:“Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan iktikaf. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan  iktikaf sehinggalah baginda wafat”.

6.  Amalan itikaf  dapat mengembalikan kita untuk mengimarahkan masjid (rumah Allah). Rumah yang menghimpunkan kebaikan untuk dunia dan akhirat.

Mengimarahkan masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah: 

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.”  (At-Taubat: 18),.

Marilah kita merebut peluang beriktikaf dan menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan bermula malam ini.




Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya