Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

'Abd bin Humaid, Ibnu Mardawaih dan Ibn 'Asakir telah meriwayatkan daripada Abi Dzar bahawa dia telah bertanya Rasulullah S.A.W :"Berapakah jumlah kitab yang telah diturunkan Allah?" Sabda Nabi S.A.W: "Seratus empat belas buah semuanya, di antaranya ialah sepuluh suhuf diturunkan kepada Nabi Adam, lima puluh kepada Nabi Seth, tiga puluh suhuf kepada Nabi Idris, sepuluh suhuf kepada Nabi Ibrahim, sepuluh suhuf kepada Nabi Musa, sebelum diturunkan Taurat dan Allah SWT menurunkan kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran"

Dalam suhuf Ibrahim terdapat pesanan berikut:
"Orang yang berakal wajar menjaga lidahnya, arif tentang zamannya dan bersedia menghadapi masa depannya."

Al-Ajuriy dan yang selainnya telah meriwayatkan daripada Abi Dzar katanya: "Aku bertanya,"Wahai Rasulullah, apakah yang terkandung di dalam suhuf Ibrahim?" Sabda Rasulullah S.A.W: "Kesemuanya adalah nasihat, diantaranya: Wahai raja yang terpedaya, sesungguhnya Aku (Allah) tidak melantik engkau untuk mengumpulkan harta dunia, tetapi melantik engkau sebagai mewakili aku untuk mendengar dakwaan orang yang dizalimi. Sesungguhnya aku tidak akan menolak doa orang yang dizalimi, walaupun datang dari mulut orang yang kafir."

Di dalamnya juga terdapat kata-kata: "Orang-orang yang berakal itu mestilah memperuntukkan untuk dirinya tiga masa; pertama masa untuk bermunajat kepada tuhannya, kedua ialah masa muhasabah dirinya dan memikirkan ciptaan dan pemberian Allah kepadanya dan yang ketiganya ialah masa untuk makan minumnya dan hajat-hajat lain."

"Dan orang-orang yang berakal itu mestilah mengusahakan tiga perkara iaitu menambah bekalan akhirat, mengatur urusan kehidupan dan mengecapi kelazatan yang tidak haram. Orang yang berakal perlu arif tentang zamannya, bersedia menghadapi masa depan dan menjaga lidahnya. Siapa yang menghitung perkataannya berbanding amalannya nescaya kuranglah ia bercakap melainkan urusan yang pening sahaja."

Kata Abi Dzar lagi: Aku bertanya lagi, wahai Rasulullah S.A.W, apakah terkandung di dalam suhuf Musa?Sabdanya: "Kesemuanya adalah pengajaran!Aku hairan, bagaimana seseorang yang yakin dengan mati tetapi dia masih lagi boleh bergembira!aku hairan, bagaimana seorang yang yakin dengan qadar tetapi dia masih bersusah payah!Aku hairan dengan orang yang telah melihat dunia dan orang yang bergelumang di dalamnya, bagaimana dia boleh tenang dengan dunia itu! dan aku juga hairan dengan orang yang yakin hari hisab tetapi masih lagi tidak berbuat amal!"

Kata Abi Dzar lagi: "Aku bertanya lagi, wahai Rasulullah, adakah terdapat pada kita (pegangan) yang ada dalam tangan Nabi Ibrahim dan Musa daripada yang telah diturunkan Allah kepadamu? Jawab Nabi S.A.W: "Ya, bacalah wahai Abi Dzar firman Allah: 

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman), dan ingat dengan nama Tuhannya, lalu dia sembahyang. Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal. Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang terdahulu, (iaitu) Kitab-kitab Ibrahim dan Musa." Surah al-A'la, 14-19.

Dipetik daripada Tafsir Al-Munir, Juz 'Amma: ms 193-195.

Comments

Popular posts from this blog

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya