Perkongsian Hadis 27

Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Setahun Yang Lalu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berpuasa  atas dasar iman ialah melaksanakan ibadat puasa  dengan meyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa kerana perintah Allah.

2.  Ihtisab adalah melakukan ibadat puasa dengan ikhlas, menyempurnakan ibadat puasa dengan memelihara perkara yang boleh merosakkan puasa dan hanya mengharap pahala dari Allah. Tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil). Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتْ الْكَبَائِرُ

“Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar".( HR. Ahmad No: 8830) Status Sahih


Semoga ibadat Puasa yang dilaksanakan bersungguh-sungguh akan menjadi instrumen menghapuskan dosa-dosa kita setahun yang lalu.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Dari Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mendirikan Ramadhan (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain)  kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu" (HR Bukhari No: 36) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mendirikan Ramadan atas dasar iman bermaksud menghidupkan malam hari dengan solat sunat tarawih, solat witir, solat tahajud, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal solleh kerana meyakini akan amalan sunnah.

2.  Ihtisab membawa maksud mengharap pahala semata-mata dari Allah Ta’ala. Kita tidak merasa berat melaksanakan amal. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Semoga ibadat qiam di malam hari sama ada untuk solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi sebahagian daripada elemen menghapuskan dosa-dosa yang lalu

4.  Antara ibadat di malam hari di bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawikh. Orang yang solat sunat bersama imam hingga selesai solat, dituliskan baginya seolah-olah ia bersolat sepanjang malam. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ ..... فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ...

Dari Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Barangsiapa yang berdiri bersama imam (solat Sunat malam), hingga selesai (hingga imam beredar) dituliskan baginya ganjaran pahala orang yang qiam sepanjang malam.'  (HR Tirmizi No: 734) Status: Hasan Sahih

Ayuh, pastikan kita dapat bersama solat tarawikh di masjid atau surau bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid sedangkan imam masih bersolat.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Memasuki Syurga Menerusi Pintu Ibadat 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ كُلِّهَا قَالَ نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menginfaqkan dua jenis (berpasangan) dari hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga; (lalu dikatakan kepadanya): "Wahai 'Abdullah, inilah kebaikan (dari apa yang kamu amalkan). Maka barangsiapa dari kalangan ahli solat dia akan dipanggil dari pintu solat dan barangsiapa dari kalangan ahli jihad dia akan dipanggil dari pintu jihad dan barangsiapa dari kalangan ahli puasa dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan dan barangsiapa dari kalangan ahli sedekah dia akan dipanggil dari pintu sedekah". Lantas Abu Bakar Ash-Shidiq radliallahu 'anhu bertanya: "Demi bapa dan ibuku, jika seseorang dipanggil diantara pintu-pintu yang ada, itu sebuah kepastian, namun apakah mungkin seseorang akan dipanggil dari semua pintu?". Rasulullah menjawab: "Benar, dan aku berharap kamu termasuk diantara mereka". HR Bukhari No: 1764 Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ramadan bulan infak. Orang yang menginfak dua jenis harta nya di jalan Allah, dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga.

2. Amalan fardu (seperti solat, puasa, zakat, haji) semasa di dunia akan menyediakan  daripada ibadat tersebut, antara pintu ke syurga.

3.  Mereka yang ahli Solat, ahli Jihad, ahli Sedekah, masing-masing akan dipanggil menerusi pintu-pintu di syurga antaranya pintu solat, jihad dan sedekah untuk masuk ke syurga.

4.  Ahli puasa akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan

5.  Orang yang melaksanakan semua ibadat,  semua pintu ibadat di syurga akan memanggil untuk masuk ke syurga melalui pintu  masing-masing.

JOM sempurnakan ibadat SOLAT, JIHAD, SEDEKAH & PUASA…semoga ia menjadi antara pintu-pintu Syurga buat kita.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya