Perkongsian Hadis 28

Bersahur Membezakan Puasa Muslim 

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Dari Amru Ibnu Al-Ash RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:  "Perbezaan antara puasa kita dengan puasanya Ahli Kitab adalah makan sahur." (HR Muslim No: 1836) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Beribadat perlu mengikut sunnah Rasulullah SAW.

2. Ibadat puasa kita perlu berbeza dengan ibadat puasa ahli kitab iaitu dengan kita makan sahur sebelum fajar.

3. Bersahurlah walaupun dengan seteguk air atau sebiji kurma.


Bagi yang berpuasa sebaiknya bersahurlah sebagai mencontohi amalan Rasulullah SAW dalam ibadat puasa dan membezakan ibadat puasa ahli kitab.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Rasulullah SAW Amat Pemurah Di bulan Ramadan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Dari Ibnu Abbas radliallahu 'anhu dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadhan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Qur'an kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus." (HR Muslim No: 4268) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah adalah contoh terbaik antaranya dalam sifat pemurah yang perlu kita ikuti.

2.  Setiap kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian antaranya bersedekah kerana balasan amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

3.  Bersedekah termasuk di dalamnya menyediakan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa  juga kepada golongan fakir miskin.

4.  Konsep "memberi"  (bersedekah)  harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi - menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

5.  Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ

“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (QS an-Nahl: 96)

6. Harta yang kita infak tetap akan kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu mendatangkan manfaat dan pahala.

7.  Tadarus al-Quraan juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sedekah Tidak Mengurangkan Harta

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (HR. Muslim no. 4689) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah adalah amalan yang dituntut dalam Islam khususnya di bulan Ramadan.

2.  Orang yang bersedekah tidak akan mengurangkan hartanya. Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik malah akan didoakan oleh Malaikat.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَامِن يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ, إِلاَّ مَلَكَانِ يَنزِلاَنِ, فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اَللهُمَّ أَعْطِ مُنفِقًا خَلَفًا. وَيَقُولُ الآخَرُ: اللهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Dari Abu Hurairah RA bahwa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melewati paginya kecuali akan turun (datang) dua malaikat kepadanya lalu salah satunya berdoa; "Ya Allah berikanlah pengganti bagi siapa yang menafkahkan hartanya", sedangkan yang satunya lagi berdoa; "Ya Allah berikanlah kehancuran (kebinasaan) kepada orang yang menahan hartanya (bakhil) ".(HR Bukhari No: 1351) Status: Hadis Sahih

3.  Orang yang memberi kemaafan kepada orang lain, Allah akan menambah kemuliaannya.

4.  Orang yang merendahkan diri kerana Allah (rendah hati, tidak sombong), Allah akan mengangkat darjat serta kedudukannya di sisi Allah.



Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya