Perkongsian Hadis 29

Puasa, Sedekah dan Qiamullail

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ  

Dari Mu'adz bin Jabal bahwa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun di malam hari. (HR Ahmad No: 21116) Status: Isnad Hasan
Pengajaran:

1.  Ibadat puasa menjadi benteng atau perisai daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah

2.  Puasa adalah perisai yang akan melindungi dari kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri dari terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah.

4.  Sedekah antara amalan yang boleh menjadi penghapus dosa

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma.  (HR Bukhari  no 5564) Status: Hadis Sahih

5.  Menghidupkan malam dengan Qiamullail merupakan antara amal kebaikan orang Mukmin untuk membina kekuatan rohani.

Ambillah kesempatan Ramadan ini untuk membina perisai diri, menghapuskan dosa dan menguatkan rohani.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Bau Mulut Orang Berpuasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال النبي صلى الله عليه وسلم: وَالَّذِي نَفْسُ ‏ ‏مُحَمَّدٍ ‏‏ بِيَدِهِ ‏‏ لَخُلُوفُ ‏‏ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Dari Abu Hurairah RA, Bersabda Nabi SAW: Demi diriku berada ditangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi.  (HR Bukhari No: 1771) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kesusahan dan rasa kelaparan yang timbul kerana ketaatan akan memperolehi ganjaran yang manis di akhirat kelak.

2.  Pada hari kiamat, ketika manusia dibangkitkan dari kubur, ciri-ciri orang yang berpuasa adalah bau harum yang akan keluar dari mulut mereka, yang keharumannya melebihi harumnya minyak kasturi.

3.  Allah akan mengganti bau mulut orang yang berpuasa  (dari makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa juga menahan seluruh pancaindera dan hati) dengan ganjaran yang besar di hari akhirat. Kerana sesungguhnya, puasa itu hanyalah untuk Allah dan Allah pula yang akan memberikan penghargaan dan balasan dengan nilaian yang hanya Allah yang tahu.

4.  Allah lebih menghargai dan menghormati bau mulut orang berpuasa daripada bau mulut orang tidak puasa. Jadi maksud kalimat tersebut lebih merupakan penghormatan kepada orang yang berpuasa. Kerana orang yang berpuasa, baunya mulut adalah sesuatu yang sukar untuk dihindari.

5.  Hal ini bukan bererti digalakkan kepada orang berpuasa agar mulut berbau tidak enak dengan tidak menggosok gigi. Menggosok gigi adalah amalan Rasulullah SAW setiap kali sebelum solat termasuk ketika berpuasa.

6.  Orang yang benar-benar berpuasa semestinya hati orang tersebut bersih dan suci dari segala kotoran dan niat jahat.

7. Segala ucapan yang keluar dari mulut orang yang berpuasa tiada lain adalah yang baik, zikrullah dan perkataan menasihat serta mengajak orang lain kepada jalan Allah.

Orang yang berpuasa seperti itu, Allah memberi penghargaan  kepada bau mulut orang tersebut dengan darjat yang indah dan tinggi kerana di hari akhirat nanti bau mulutnya menjadi wangi lebih dari kesturi.

Rasulullah SAW pernah bersabda, "sebaik-baik kalimat, adalah kalimat yang mengajak orang kepada jalan Allah SWT".


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jaminan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kalian yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menghantar jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menjenguk orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua itu ada pada seseorang kecuali dia pasti akan masuk syurga." (HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.

2.  Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW yang menunjukkan amal soleh.

3.  Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4.  Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menjenguk orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup dalam masyarakat.

5. Mukmin yang melaksanakan kewajipan ibadat individu seperti solat, puasa, zakat serta kewajipan untuk cakna kepada masyarakat seperti ziarah orang sakit, menolong orang susah, pasti akan masuk syurga.

Ayuh kita bersegera menyantuni orang miskin, orang lemah, anak yatim sempena bulan Ramadan ini dengan sumbangan Ramadan.

JOM bersegera menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya