Hari Arafah


بسم الله الرحمن الرحيم
السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين


Kelebihan Hari Arafah.
Alhamdulillah, satu lagi hari yang sangat istimewa dalam agama kita, iaitu Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah bersamaan 25/10/2012 (hari Khamis ni) akan muncul lagi berdasarkan aturan Allah swt. SubhanAllah. MasyaAllah.
Hari Arafah banyak kelebihannya bagi kita yang mengambil peluang hidup dan yang sentiasa mahukan hidup yang diredhai Allah swt. Kerana itulah sebab dan maksud kita diciptakan dari tiada kepada ada.
Semata-mata menjadi hamba Allah swt.
Berikut kelebihan hari Arafah:

1) Hari paling ramai manusia dibebaskan daripada Neraka.
Sabda Nabi
صلى الله عليه وسلم‎. "Tiada mana-mana hari yang lebih banyak Allah bebaskan hamba padanya dari neraka berbanding hari Arafah. Sesungguhnya DIA akan mendekat dan kemudian DIA berbangga dengan mereka kepada para malaikat, lalu DIA berkata: Apakah yang dikehendaki oleh mereka ini?" (sahih Muslim). - kita semua sangat tidak tahu nasib kita, adakah kita calon syurga, mahupun calon neraka, namun jika kita mengambil peluang yang Allah swt kurniakan pada hari Arafah dan istiqamah dengan amal ibadat kita semata-mata hanya kerana Allah swt, kemungkinan nama kita akan didelete sebagai calon neraka, mudah-mudahan.

2)
الله عز وجل - Allah 'Azza waJalla (maksudnya Allah yang maha mulia dan memiliki kebesaran) berbangga kepada para malaikat di petang Arafah.
Daripada Abi Hurairah, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah
صلى الله عليه وسلم‎, "Sesungguhnya Allah akan berbangga dengan orang-orang Arafah kepada penduduk langit, lalu DIA akan berkata kepada mereka; Lihatlah kepada hamba-hambaKU ini! Mereka datang kepada KU dalam keadaan kusut masai dan berdebu" (sahih Al-JAmie' 1867) - itulah kita sebagai hamba, sentiasa lemah dan hina depan Allah swt. Namun, balasan di akhirat sana, tidak dapat kita bayangkan langsung, betapa pemurah dan sayangnya Allah swt kepada kita. Dihidupkan di dunia, semua dapat free, lahir-lahir sudah ada tangan, mata, otak, akal, lengkap sempurna, cuma kena laksanakan dan utamakan perintahNya dan jauhkan larangan-Nya, namun balasan syurga yang kita akan dapat, sangat lah tidak sama nilai dengan ibadah dan kebajikan yang kita buat di dunia. SubhanAllah. Allahu Akbar.

3) Rahmat dan keampunan.
Daripada Ibnu Umar beliau berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah
صلى الله عليه وسلم‎ sehingga Baginda bersabda, "Adapun wukufmu di Arafah, sesungguhnya Allah akan turun ke langit dunia, lalu DIA akan berbangga dengan mereka kepada para malaikat, lalu DIA berkata; Ini hamba-hambaKU, mereka datang kepadaKU dalam keadaan kusut masai lagi berdebu dari setiap pelosok yang jauh. Mereka mengharapkan rahmatKU dan mereka takutkan azabKU sedangkan mereka tidak melihat KU. Bagaimanakah jika mereka melihatKU? Sekiranya seperti pasir yang menimbun, atau seperti bilangan hari-hari dunia, atau seperti titisan hujan langi dosa sekalipun, Allah akan membasuhnya darimu. Manakala lontaranmu kepada jamrah-jamrah, ia adalah simpanan untukmu. Sementara pencukuran kepalamu pula, untukmu bagi setiap helaian rambut yang gugur, satu kebaikan. Apabila kamu tawaf di Bait, kamu akan keluar dari dosa-dosamu seperti hari kamu dilahirkan ibumu" - walau dosa setinggi gunung, namun pengampunan Allah lagi luas, yang penting kita kena sentiasa sedar salah dan dosa kita, kemudian memohon ampun dan minta maaf kepada Allah swt.

4) Syaitan menjadi kecil pada hari Arafah.
Daripada Talhah bin Ubaidillah , beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ :
"Tidak dilihat Syaitan pada mana-mana hari yang ia lebih kecil, lebih hina, lebih tertewas, dan lebih marah berbanding hari Arafah, dari sebab apa yang ia lihat dari penurunan rahmat, pelepasan Allah Taala terhadap perkara-perkara yang besar, kecuali apa yang diperlihatkan kepadanya pada hari Badar. Maka dikatakan: Apakah yang ia lihat pada hari Badar? Baginda bersabda: Ia melihat Jibrail mengatur para Malaikat". [dikeluarkan oleh Abd Ar-Razzaq di dalam Musonnaf beliau, dengan no. 8832, serta Imam Malik di dalam Al-Muwatto’]

5) Allah swt melepaskan orang yang berbuat kesalahan kerana orang yang berbuat kebaikan, dan Dia berikan orang yang berbuat kebaikan apa yang dia minta.
Daripada Bilal bin Rabah , bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم‎ telah bersabda pada pagi hari perhimpunan: "Wahai Bilal! Senyapkan orang ramai -atau diamkan orang ramai", kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah mengurniakan kelebihan ke atas kamu pada hari perhimpunan kamu ini. Dia melepaskan orang yang berbuat kesalahan kerana orang yang berbuat kebaikan, dan Dia berikan orang yang berbuat kebaikan apa yang dia minta. Bertolaklah dengan nama Allah". [berkata Al-Albani: Hadith yang sahih. Lihat Sahih At-Tirmizi 705]

6) Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah.
Daripada Amru bin Syuaib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم‎ bersabda: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, dan sebaik-baik apa yang dikatakan olehku dan nabi-nabi sebelum dariku: Tiada tuhan melainkan Allah, hanya Dia tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya segala kerajaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia terhadap setiap sesuatu Maha Berkuasa" [Sahih Al-Jamie’ 1102]

7) Diampunkan sesiapa yang mengawal pendengarannya, penglihatannya, dan lidahnya pada hari Arafah.
Daripada Ibnu Abbas, bahawa beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎: "Ini satu hari yang sesiapa mengawal padanya; pendengarannay, penglihatannya, lidahnya, akan diampunkan baginya" {diriwayatkan oleh Ahmad].

8) Berpuasa pada hari berkenaan bagi yang bukan jemaah haji.
Daripada Abi Qatadah, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ telah bersabda: "Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar dihapuskan dosa bagi setahun yang sebelumnya dan setahun selepasnya" [dikeluarkan oleh Muslim di dalam Sahih beliau]. - Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.
   
والله أعلم

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya