Kubur

بسم الله الرحمن الرحيم
السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم

Kubur itu jaraknya sangat dekat dengan kita, sangat-sangat dekat. Iaitu, kematian.
Apabila kita dimatikan, jenazah kita akan diuruskan, dan kemudian akan di bawa ke tanah perkuburan.
Andai meninggal waktu pagi, tengahari lepas solat zohor, kita pasti akan masuk ke dalam rumah baru kita, iaitu alam kubur/alam barzakh.
Begitulah dekatnya kita dengan kubur.

Andai kita berada di mana sekali pun, pada bila-bila masa sekalipun, kematian pasti akan menjemput kita.
Namun apakah kita sudah bersiap sedia untuk masuk ke dalam rumah baru kita itu..?
Kita di sana hanya keseorangan, segala harta benda, ahli keluarga, kawan-kawan, pangkat, kekayaan, semuanya akan kita tinggalkan.
Tanpa ada peneman, kecuali amal soleh dan kebaikan yang kita laksanakan di dunia, yang akan menentukan rumah baru kita sama ada dalam taman-taman syurga, ataupun dalam lubang-lubang neraka.
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, yang bermaksud ;
“Sesungguhnya alam kubur itu adalah tahap pertama untuk alam akhirat.
Bilamana seseorang telah selamat dalam tahap pertama itu, maka untuk tahap-tahap selanjutnya akan lebih ringan.
Akan tetapi kalau tidak selamat dalam tahap pertama tersebut, maka untuk tahap-tahap selanjutnya akan lebih berat”
(Riwayat Tarmizi, Ibn Majah dan Hakim)

Andai dalam taman-taman syurga, sangat beruntunglah kita, namun sekiranya dalam lubang-lubang neraka, seksaan yang berat akan menimpa kita sehinggalah hari kiamat kelak, wa na'uzubillah.
Kita sentiasa kena sedar diri yang kita pasti akan menemui kematian, dan kesedaran dan persiapan itu hanya akan kita perolehi dengan ilmu dan iman seterusnya berusaha mendekatkan diri kita kepada Allah swt.
Apabila kita dekat dengan As-Salaam: ( السلام ), Yang Maha Penyelamat, kita pasti akan diselamatkan daripada azab kubur dan azab neraka, mudah-mudahan semuanya dengan rahmat Allah swt yang maha luas.
Kerana di dunia ini adalah tempat kita berpenat kerana kesusahannya, manakala di alam akhirat nanti tempat kita berehat dengan penuh nikmatnya yang tidak terhingga. Bagi golongan terpilih iaitu hamba-hamba Allah swt yang bertaqwa.
Allah swt merehatkan hambaNya yang bertaqwa daripada kesusahan dunia, manakala bagi hambaNya yang jahat, mati itu telah menyebabkan hamba-hamba Allah swt yang lain, manusia, tanah, air, pohon-pohon dan haiwan-haiwan direhatkan daripadanya, bersumberkan hadis Rasulullah
صلى الله عليه وسلم.

Moga kita semua dilindungi dan diberkati Allah swt dalam setiap perbuatan dan amalan soleh kita di dunia, untuk kita mendapat kerehatan yang hakiki di akhirat kelak, ameen.

.والله أعلم

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya