Kelebihan Berpuasa pada Hari Asyura (10 Muharram)


بسم الله الرحمن الرحيم
السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah, hari ini 8 Muharram, kita masih lagi diberi nikmat kehidupan oleh Allah swt dan sekali lagi insyaAllah, kita akan dapat menikmati peluang dan kelebihan yang sangat terbaik yang Allah swt janjikan kepada hambaNya yang beriman dan beramal soleh iaitu pada hari Asyura, 10 Muharram yang bakal tiba. Kita disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa: “Rasulullah s.a.w menyarankan puasa Asyura iaitu Hari Kesepuluh” (hadis hasan sahih riwayat At-Tirmizi).

Antara fadilat (kelebihan) berpuasa hari Asyura adalah:
1. Kata Ibnu Abbas r.a.:
“Tidak pernah aku melihat Nabi SAW menanti-nanti puasa pada suatu hari yang diutamakan lebih daripada hari lain kecuali hari ini, iaitu ‘Hari Asyura’ (10 Muharram), dan bulan puasa iaitu Bulan Ramadhan.” (Riwayat Imam Bukhary dan Imam Muslim)

2. Daripada Abu Qatadah r.a. berkata:
“Bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang berpuasa pada hari ‘Asyura (10 Muharram). Baginda s.a.w menjawab: “Akan dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.”  (Riwayat Imam Muslim)

3. Rasulullah SAW bertanya: “Berpuasa apakah kamu  ini ?”. Jawab mereka,
“Hari ini hari besar, pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israil serta menenggelamkan Firaun dengan askar-askarnya. Maka Nabi Musa telah berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah kerana itu kami pun berpuasa.” Sabda Nabi SAW: “Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa daripada kamu.” Dari itu Nabi  s.a.w. berpuasa dan menyuruh sahabat-sahabatnya berpuasa pada hari itu.”    (Riwayat Muslim dan Ibnu Abbas r.a)

Dan banyak lagi kelebihan yang akan kita dapat sekiranya kita berpuasa pada hari Asyura, namun berpuasalah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah swt, semata-mata mengharapkan redha Allah swt.
Setiap fadilat itu akan datang sendiri, yang penting kita perlu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah kepada Allah swt dengan iringan ilmu yang betul.

Kita juga disunatkan untuk berpuasa pada satu hari sebelum hari Asyura iaitu pada 9 Muharram (hari Tasu'a) dan pada satu hari selepas hari Asyura, iaitu pada 11 Muharram agar tidak menyerupai amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura sahaja.
Berdasarkan hadith-hadith berikut:

1. “Berpuasalah kamu di Hari Asyura dan kamu bezakanlah dengan (amalan) orang-orang Yahudi. Oleh itu berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya”. (Riwayat Ahmad)

2. Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata: “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura dan Baginda menyuruh berpuasa pada hari tersebut. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya hari ini (‘Asyura) adalah hari yang dibesarkan oleh Yahudi dan Nasara.” Maka Baginda bersabda: “Sekiranya daku masih ada pada tahun hadapan, pasti daku akan berpuasa juga pada hari sembilan (9 Muharram).”  (Riwayat Imam Muslim)

Ringkasnya, yang paling afdhal ialah berpuasa pada ketiga-tiga hari ke 9, 10 dan 11 Muharram.
Jika tidak upaya maka berpuasalah pada hari ke 9 dan 10 Muharram.
Jika tidak upaya maka berpuasa sunatlah pada hari ke 10 Muharram sahaja.
Moga Allah swt ampunkan dosa-dosa kita, menerima puasa dan amal ibadat kita pada hari-hari yang mulia ini, dan moga kita semua diberi kekuatan dan semangat untuk kita beramal ibadah kepada Allah swt sebaik dan seikhlasnya.

Jagalah adab dan akhlak dalam perkara-perkara sunnah sebelum, semasa dan semasa berbuka puasa, seperti bersahur walau minum seteguk air, menjaga pancaindera, menjaga hawa nafsu, membaca doa ketika berbuka, berbuka dengan tamar, menyegerakan berbuka puasa dan lain-lain.

Semasa berpuasa, banyakkanlah berdoa, khususnya untuk kesejahteraan, keselamatan dan supaya derma, bantuan dan keperluan cepat sampai dan dapat terus ke tangan saudara-saudara kita di Gaza.
Doa orang yang sedang berpuasa tiada hijab sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w,

"Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )


Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith: "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Berdoalah untuk mereka saudara kita di Gaza, di Syria, di Myanmar dan di mana sahaja, kerana doa itu adalah senjata hebat bagi orang mukmin.

.والله أعلم
Dipetik dari emel.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya