Salam Eidul Adha

بسم الله الرحمن الرحيم
السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم

Allah swt telah mensyariatkan kita umat Islam supaya melaksanakan ibadah haji dengan kemampuan kita.
Dengan mengerjakan haji di Mekah Al-Mukarramah, kita kena berkorban dari segi harta dan keluarga.
Sebahagian harta kita gunakan untuk kos perjalanan ke sana, dan sebahagian harta lagi kita tinggalkan.
Keluarga kita juga kita tinggalkan jauh, semata-mata menyahut seruan ibadah haji di Mekah.
Maknanya semua yang kita kasihi, yang kita sayangi terpaksa kita tinggalkan, berpisah buat sementara.
Dengan ibadah haji, kita diajar untuk berpisah buat sementara, apa yang sentiasa kita kasihi dan kita sayangi, iaitu harta dan keluarga. Itulah pengorbanan.
Namun pengorbanan itu sangatlah tidak susah, seandainya kita punya hati dan keimanan yang teguh kepada janji dan kemenangan agung di syurga.

Itulah hakikat dunia, sangat pasti kita akan tinggalkannya, menuju kehidupan abadi di akhirat kelak.
Rasulullah
صلى الله عليه وسلم telah mengajar dan menunjukkan contoh teladan yang paling baik dan bijaksana, bagaimana mahu hidup di dunia yang bakal kita tinggalkan.
Dengan hidup bersederhana dan bijaksana.
Sederhana dengan tidak mengikut hawa nasfu dengan godaan dunia, dan bijaksana dalam menghadapi arus dugaan dunia.


Satu ketika, sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم, Umar bin Khattab RA berkunjung ke rumah Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Ketika beliau memasuki rumah Baginda, dia tersentak seketika melihat isi rumah Baginda صلى الله عليه وسلم, yang ada hanyalah sebuah meja dan alasnya hanyalah sebuah jalinan daun kurma yang kasar, sementara yang tergantung di dinding hanyalah sebuah geriba (tempat air) yang biasa Baginda gunakan untuk berwudhuk. Kehibaan muncul dalam hati Umar RA.
Tanpa disedari air matanya berlinang…

Setelah Rasulullah
صلى الله عليه وسلم melihat reaksi Umar, maka kemudian Rasulullah  صلى الله عليه وسلم menyapanya. “Gerangan apakah yang membuatmu menangis?”
Umar pun menjawabnya, “Bagaimana aku tidak menangis ya Rasulullah? Hanya seperti ini keadaan yang kudapati di rumah tuan. Tidak ada perkakas dan tidak ada kekayaan kecuali sebuah meja dan sebuah geriba, padahal di tangan Tuan telah tergenggam kunci dunia Timur dan dunia Barat, dan kemakmuran telah melimpah.
Lalu Baginda menjawab “Wahai Umar, aku ini adalah Rasul Allah, Aku bukan seorang Kaisar dari Romawi dan bukan pula seorang Kisra dari Parsi. Mereka hanya mengejar duniawi, sedangkan aku mengutamakan ukhrawi".

Begitulah Nabi SAW mengajar kita erti kesederhanaan.

Dan bahawa sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia (surah Al-Qalam, ayat 4).

Semoga 'Aidil Adha yang bakal tiba menjadi kayu pengukur kepada kita, dan memberi kesedaran kepada kita, sama ada kita sedang mengejar dunia, ataupun kita mendambakan kesenangan di akhirat.


Kullu 'am wa antum bikhair.



Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya