Secara Tiba-tiba

بسم الله الرحمن الرحيم
السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم


Sesuatu yang 'tiba-tiba' boleh memberikan kepada manusia dua perasaan yang mengejutkan dan mengujakan.
Pertama, kejutan yang mengembirakan.
Kedua, kejutan yang mendukacitakan.

Sesuatu yang tiba-tiba bagi kejutan yang pertama, seperti kita mendapat hadiah hari lahir yang berlipat kali ganda, dan berkali-kali mendapatnya.
Umpamanya, kita mendapat hadiah untuk penginapan satu malam di hotel serba mewah yang harga untuk satu malam sahaja adalah RM10,000. Sebulan gaji pun belum tentu kita dapat tempah bilik ini andai pada waktu biasa.
Sudah pasti kita akan terkejut dengan hadiah tersebut dan kita pasti akan rasa gembira.
Apabila kita masuk ke dalam bilik itu, di dalamnya pula terdapat kunci kereta mewah, kunci rumah banglo dan kunci peti keselamatan yang di dalamnya terdapat wang tunai RM 1 juta. Semuanya tertulis 'hadiah untuk anda'.

Sudah pasti sekali lagi kita akan terkejut dan merasa sangat-sangat gembira dan teruja dengan hadiah-hadiah tersebut.
Inilah gambaran 'tiba-tiba' yang mengembirakan, sebab memang langsung tidak terlintas di hati kita yang kita akan dapat hadiah-hadiah tersebut, itulah kejutan yang kita akan dapat ketika di syurga, iaitu penuh dengan nikmat pemberian hadiah yang indah-indah, yang luar biasa dan nikmat kesenangan yang tiada penghujungnya daripada Allah 'Azza waJalla yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-Nya yang bertaqwa dan beramal soleh.
Bagi hambaNya yang sentiasa bersungguh-sungguh tunduk, menyerah diri sepenuhnya dan mengutamakan perintah serta menjauhkan dan menjaga diri dari terlibat dengan segala larangan Allah swt.

Bersandarkan hadis Rasulullah
صلى الله عليه وسلم yang bersabda bahawa Allah swt berfirman: "Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas dalam hati manusia. Oleh karena itu bacalah kalau kamu ayat: 'Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.' (As-Sajdah: 17)." (Bukhari & Muslim)

Mudah-mudahan kita berusaha menjadi hamba Allah swt yang soleh dan terpilih di kalangan hambaNya yang dimasukkan ke dalam syurga, ameen.

Manakala sesuatu yang tiba-tiba bagi kejutan yang kedua, seperti terjadinya kemalangan kepada kita yang tidak kita sangka dan berlaku secara tiba-tiba.
Umpamanya kita seperti biasa ingin pergi ke pejabat, dan kerana kita terlewat bangun, kita tergesa-gesa dan memandu secara berbahaya.
Dalam perjalanan, kita terlibat dengan kemalangan. Kita telah terlanggar seorang budak yang sedang menaiki basikal.
Budak kecil itu telah meninggal dunia.
Sudah pasti kita akan merasa terkejut dengan kemalangan yang berlaku secara tiba-tiba.
Belum sempat kita keluar dari kereta, kita telah ditarik keluar, dan kita telah dipukul bertubi-tubi oleh penduduk di situ kerana marah dengan kita.
Selepas kita lembik dipukul, barulah kita dibawa ke balai polis. Dibalai polis sekali lagi kita di soal siasat dan diherdik oleh pegawai polis kerana marah dengan kecuaian kita.
Dan kita telah ditahan di penjara, dan kemudian telah disabit kesalahan dan dihukum penjara selama-lamanya. Kehidupan kita tersekat hanya di penjara.
Inilah gambaran 'tiba-tiba' yang mendukacitakan, sebab memang langsung tidak terlintas di hati kita yang kita akan
terlibat dalam kemalangan, dan sekaligus kehidupan kita berakhir di dalam penjara.
Itulah yang terjadi apabila tibanya hari kiamat, pasti akan datang secara tiba-tiba.
Berdasarkan ayat 187, surah Al-An'am,   yang bermaksud "(Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut (tiba-tiba)".

Bagi yang belum bersedia, dan kemudian masih lalai dan cuai dalam mengerjakan suruhan Allah swt dan masih melakukan maksiat dengan engkar kepada Allah swt, sudah pasti akan merasa terkejut dan berlipat kali ganda terkejut seandainya kita selepas itu akan mendapat seksaan kubur dan seksaan neraka yang juga kita tidak dapat bayang betapa sakitnya, betapa peritnya jika kita di seksa dengan seksaaan tersebut. Dan bertambah malang lagi kerana seksaan di neraka adalah berpanjangan. Allah swt berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Surah An-Nisa', 56). Na'uzubillah.
Moga Allah swt lindungi kita daripada menjadi calon neraka.

Bermulalah dengan berhijrah ke arah yang lebih baik.
Berhijrah adalah perubahan.
Perubahan dengan memilih yang baik, dan buang yang jahat.
Memilih pahala, dan menolak dosa.
Memilih keberkatan, menjauhi kemaksiatan.
Memilih syurga menghindar neraka.
Untuk memilih mesti ada mujahadah, iaitu kita berusaha melakukan kebaikan, dan melawan hawa nafsu.
Bermujahadah dan bersedia sangat menguntungkan kita daripada 'tiba-tiba'.

Begitulah suatu keadaan yang tiba-tiba.
Dan setiap hari kita ada pilihan untuk memilih tiba-tiba yang mengembirakan, atau tiba-tiba yang mendukacitakan.
Tepuk dada, tanyalah hati kita.

.والله أعلم
Dari sahabat untuk sahabat oleh : Mohd Fadzil Ahmad

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya