MADRASAH RAMADHAN: AKU MASIH MUSLIM TETAPI BELUM MUKMIN

Segala puji bagi ALLAH swt Tuhan yang wajib disembah oleh semua manusia dan tiada makhluk lain yang setara dengannya dan DIA Tuhan yang mempunyai langit dan bumi serta sekelian alam.

Alhamdulillah masih berkesempatan dan diberi kekuatan untuk menulis walaupun telah ditimpa seribu satu kelemahan dalam dua hobi utama pada masa lalu iaitu menulis dan membaca kerana kesibukan dunia yang seperti tiada berpenghujungnya.

Hari ini genap seminggu menjalani ibadah berpuasa dengan memasuki hari ke-8 Ramadhan 1440 yang sekali lagi tiba buat seluruh umat Muhammad saw sebagai sebuah 'shahrul-madrasah' selama 30 hari kita ditarbiah. Bermula dengan menahan lapar dan dahaga serta mengekang keinginan nafsu yang senantiasa bergelora dijiwa sebagai seorang manusia biasa. Cabaran hari ini ialah dunia semakin sibuk dengan pelbagai sebaran dari segi penyediaan pelbagai jenis makanan serta kenikmatan lain yang berada diluar rumah serta media elektronik yang berada didalam rumah serta media sosial internet yang berada didalam saku seluar masing-masing. Inilah cabaran manusia hari ii dan kita sebagai seorang yang mengaku dengan pengakuan syahadah serta berusaha untuk melakukan ibadah serta menggandakannya terutama dalam bulan suci ini penghulu segala bulan Ramadhan Karim.

Bersyukur sekali kerana aku masih seorang yang tunduk (Aslamtu), berserah (Muslimun) serta tergolong dalam kaum yang menyerah (Yusallimu) untuk melakukan ibadah kepada Tuhanku Allah dengan mengikuti jalan-jalan petunjuk (sunnah) oleh kekasihNYA Muhammad Rasulullah saw. Walaupun menjadi penganut agama seperti kedua-dua ibubapa serta datuk nenek moyang namun hati ini amat terhutang budi sekali dengan takdir Ilahi yang memilih diri ini sebagai penganut agama yang direstuiNYA. Nikmat Islam dan Iman itu tiada tandingannya walaupun dibandingkan dengan nikmat makan dan minum yang ditegah olehNYA pada sejak terbitnya matahari sehingga terbenamnya atau dipanggil siang.

Pengajaran dan pembelajaran asas dalam madrasah tarbiyah Ramadhan ini ialah dengan menahan lapar dan dahaga yang bukan mudah didepani oleh sesiapa jua kecuali dengan kekuatan jiwa melawan keinginan tersebut. Sumber untuk mendapatkan makanan dan minuman itu amat mudah sekali namun kerana sedikit iman didada yang tahu akan perintah dan larangannya sebagai TUHAN amat dipatuhi dserta disyukuri. Ya ALLAH kau berikanlah kami kekuatan dalam menjalani ibadah kepadamu mengikut telunjuk dan teladan RasulMU Muhammad saw.

Pembelajaran kedua pada Madrasah Ramadhan ini ialah gandaan melakukan ibadah sunat yang selain ibadah wajib dengan menggandakan apa sahaja perbuatan seperti melebihkan jumlah rakaat solat sunat, melebihkan zikir serta bacaan Al-Quran. Sesungguhnya aku tergolong dalam orang-orang yang lemah dikuasai oleh sifat malas sebagai manusia serta sifat lemah untuk melakukan kesemua perkara-perkara itu. Pembelajaran seterusnya adalah sedekah atau sifat demawan yang perlu juga digandakan seperti mana Rasulullah yang menjadi amat pemurah abila masuknya bulan Ramadhan. Sifat pemurah ini adalah sukar bagi seorang manusia kerana kita akan merasai kehilangan apabila banyak memberi dan sifat bakhil yang akan terus menguasai diri dari memberi sedikit kepada golongan yang memerlukan.

Segala puji bagi ALLAH swt dengan penuh keinsafan dan mengenal kekuatan diri dan dengan rendah hati masih diakui menjalani hari-hari Ramadhan sebagai seorang muslim namun masih jauh lagi untuk menjadi seorang mukmin. Konvokesyennya akan diraih melalui apa yang akan kita gunakan dalam tempoh sebulan ditarbiah untuk mengharungi tempoh 11 bulan sebelum bertemu lagi jika masih dipanjangkan umur oleh Allah swt.


Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya