Ikhlas, Cinta, Redha, Zikir

Pada suatu tazkirah sebelum solat jumaat 21 Rabiul Akhir 1438 (21/1/2017), telah berpesan oleh khatib yang bertugas sebelum beliau menyampaikan khutbah kerana waktu zohor belum lagi tiba.

Apakah ubat atau cara mencari ketenangan hati? Kerana hati ini sentiasa berbolak-balik oleh Allah swt dan kita selalu memanjatkan doa agar diteguhkan hati. Hati manusia seringkali tercabar atau diduga dengan datangnya pelbagai perasaan dari interaksi luar sesama manusia atau hadir oleh perasaan yang menggoncang hati.

Diberikan empat 'ubat' atau sikap kita yang boleh mengubat hati dalam mendapat ketenangan hati dan diteguhkan iman oleh Allah swt. Selalunya ubat atau penawar ini adalah usaha bagi menyembuhkan sesuatu penyakit dan ia memerlukan perbuatan yang konsisten sehingga menjadi kebiasaan dan amalan rutin harian.

Perkara pertama yang perlu dilakuan dalam mencapai ketenagan dalam proses beriman dengan sifat ketakwaan adalah IKHLAS. Sifat ikhlas adalah tapak atau dasar yang asas dalam melakukan apa-apa maksud atau tujuan lebih-lebih lagi dalam beribadat dan membuktikan ketakwaan kepada Allah swt. Dengan sepenuh hati kita rela dan patuh atas perintahnya dalam melakukan amal ibadat kepadaNYA sejajar dengan FirmanNYA "tidak dijadikan Manusia dan Jin di muka bumi selain daripada untuk beribadat kepada Allah swt". Apabila sifat ikhlas ini terpahat maka setiap amal perbuatan itu terbit dengan jujur dan sepenuh hati tanpa ada rasa terpaksa atau tidak ikhlas.

Setelah sifat ikhlas itu wujud dalam diri sanubari (hati) maka satu perasaan CINTA itu perlu dipupuk kerana dengan perasaan ini manusia secara semulajadinya akan mebuat apa sahaja untuk mencapai maksudnya. Manusia akan sanggup bersusah payah atau menjadi begitu bermotivasi kerana sifat cinta kepada keimanan dan ketakwaan dalam proses pengabdian kepadaNYA.

Apabila telah wujudnya sifat ikhlas dan munculnya perasaan cinta maka akan datanglah ujian atau dugaan dalam menggoyangkan hati dalam melayani sifat ikhlas dan cinta. Disinilah pentingnya sifat REDHA kerana ia adalah satu sifat pasrah dan menyerah atas kehendak Allah dalam menelusuri perjalanan takdirNYA. Namun kepasrahan dan penyerahan yang tidak mempunyai usaha atau perbuatan bagi mengelak apa saja ujian bukanlah maksud redha kerana sifat redha itu datang dengan sikap berusaha sebelum bertawakal kepada Allah swt.

Sifat tawakal dan redha ini akan lengkap dan mencapai kemuncaknya dengan satu perbuatan yang dilakukan oleh mailakat-mailakat dari segenap penjuru langit sehingga ke Arasy yang agung iaitu ZIKIR. Ia adalah perbuatan mengingati dan membasahi lidah dengan kalimah-kalimah suci pujian dan pengagungan kepada Allah swt. Maka ibu segala zikir adalah solat iaitu satu cara pengibadatan yang paling tinggi dan dilakukan oleh para nabi dengan perintahnya diberi di tingkatan langit tertinggi dalam peristiwa Isra' Mikraj kepada junjungan besar Rasulullah saw.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya