andai mahu hidup tenang - cinta rindu Rasulullah s.a.w

بسم الله الرحمن الرحيم
السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم


MasyaAllah, Tabarakallah..
Rasulullah
صلى الله عليه وسلم  sangat-sangat merindui kita, umat baginda, yang berada di akhir zaman ini.
Walaupun belum pernah berjumpa, tetapi
Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan keimanan yang utuh telah melakarkan rasa rindu dan ingin bertemu dengan kita. Subhanallah..!

Bayangkan, di kala kita diarahkan tugasan di luar negara, saat berpisah sebelum berangkat pergi pasti akan menimbulkan rasa sedih kepada ahli keluarga kita. Kenapa..? Kerana adanya rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi dalam hati kita terhadap ahli keluarga itu. Kita pula ditugaskan selama berbulan lamanya. Sudah pasti saat tibanya kita di negara tersebut, sudah mula rasa kerinduan yang amat sangat kepada keluarga kita. Dan sudah pasti saat yang kita tunggu, adalah saat bila kita pulang kembali ke tanah air. Kita bayangkan keluarga kita sedang menunggu ketibaan kita dengan wajah yang ceria dan gembira. Namun, jika sebaliknya yang berlaku, ahli keluarga kita tidak seorang pun yang datang meyambut kepulangan kita, dan apabila kita tiba di rumah, ahli keluarga kita seperti tidak suka dan sudah lupakan kita. Sudah pasti hati kita rasa duka dan remuk kerana kita merasa sangat rindu dengan mereka, tetapi kerinduan tersebut tidak dibalas, malah kita dilupakan.

Mari perhatikan kisah ini. Betapa
Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah berkata-kata mengenai kita.

“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah
صلى الله عليه وسلم.
-dipetik dari blog ustaz hasrizal abdul jamil, http://saifulislam.com/ -

Marilah membalas kerinduan Rasulullah صلى الله عليه وسلم  dengan mengenal peribadi Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dengan berusaha menimbulkan rasa cinta dan kasih kepada baginda. Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم  telah berusaha sedaya upaya dengan memberikan petunjuk dan pesanan yang baik kepada kita, sebagai panduan kita untuk ke syurga, malahan masih menolong kita di akhirat kelak dengan syafaat baginda. Adakah kita tidak merasa apa-apa dengan ikhlasnya hati Rasulullah صلى الله عليه وسلم supaya semua umat baginda dapat masuk ke dalam syurga..?

Mulakan dengan bersungguh-sungguh mengenal Rasulullah
صلى الله عليه وسلم melalui siroh baginda, mengenal ahli keluarga baginda, cuba sedaya mungkin mengikut cara hidup dan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, taat dan patuh dengan ajaran Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dan banyakkan berselawat kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Sentiasa sematkan di hati hadith berikut, dari Ali bin Abi Talib berkata, Rasulullah
صلى الله عليه وسلم bersabda, “Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintai Nabimu; mencintai ahlul baitnya; dan membaca al-quran kerana orang-orang yang memelihara Al-Qur’an itu berada dalam lindungan singgahsana Allah pada hari ketika tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya; mereka beserta para nabiNya dan orang-orang suci.” (HR ath Thabrani).

Dan ingatlah amaran dari Allah swt berdasarkan ayat 24, surah At-Taubah yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

Kita buktikan kecintaan kita kepada diri sendiri dengan membeli pakaian dan kasut yang cantik, rumah besar dan selesa, kita buktikan kasih sayang kita kepada ahli keluarga dan rakan-handai dengan memberikan hadiah yang terbaik ketika hari lahir mereka, namun adakah kita sudah buktikan dan zahirkan rasa cinta kita yang mendalam kepada Allah swt dan Rasulullah
صلى الله عليه وسلم ..?

.والله أعلم

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya