KITA MANUSIA, KE SYURGA ATAU KE NERAKA
Hakikatnya semua kita tidak pernah mengingati atau cuba mengingati dimana kita semua sebelum diberi kehidupan di dunia ini kerana kealpaan manusia itu adalah sifat utama apabila kita telah boleh berfikir dan keluar dari peringkat usia mumayyiz (yang tidak dipertanggungjawabkan tentang dosa dan pahala).
Manusia adalah makhluk istimewa dan itu telah diperakui oleh Sang Maha Pencipta dititipkan melalui firmanNya dalam kitab termulia iaitu Al-Quran sebagaimana disampaikan oleh para penghulu segala Nabi dan Rasul junjungan besar SAW.
Ketika Allah SWT. berfirman kepada para malaikat akan kehendaknya ingin menciptakan satu makhluk yang akan memakmurkan bumi sebagai pentadbir (khalifah) dimana dipersoalkan oleh para malaikat mengenai keraguan mereka terhadap makhluk yang akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah.
Selayaknya hanya Dia Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana dengan berfirman atas jawapan terhadap keraguan para malaikat itu hanya Dia sahaja yang mengetahui atas kehendakNya dan segala ketentuan takdirNya.
Manusia berbeza dengan makhluk-makhluk lain ciptaanNya dengan diberi kemuliaan iaitu akal (mengetahui) yang diciptakan dari roh dari sisinya, kemuliaan wajahNya juga diterapkan kepada penciptaan rupa bentuk manusia serta diberi juga nafsu (perasaan dan keinginan) agar Dia dapat mengadili dan menentukan sikap dan sifat manusia terhadap takdir akhir mereka selepas kematian menuju alam abadi sama ada ke syurga atau neraka.
Dialah Tuhan yang telah menciptakan manusia seperti tembikar yang diberi bentuk dan rupa paras dari lumpur hitam dan campuran tanah benua-benua yang berada dibumi dengan nama Adam dengan ditiupkan roh yang membolehkan ianya bergerak dan seterusnya hidup serta diajarkan kepadanya hikmah pengetahuan dari sisiNya yang tidak pernah diketahui oleh para malaikat.
Nabi Adam a.s merupakan bapa kepada seluruh manusia baik lelaki mahupun perempuan dan dari sulbinya ini telah diciptakan benih-benih seluruh manusia hingga hari kiamat dimana telah ditunjukkan kepada baginda wajah-wajah kesemua mereka dan telah ditentukan dari kesemua itu tentang takdir akhir mereka sama ada bahagia (syurga) atau celaka (neraka).
Kitab takdir ini adalah Rahmat dan IradatNya yang mempunyai sifat-sifat mulia seperti yang disebut dalam asmaNya yang agung tentang kepelbagaian manusia yang berasal dari satu susuk manusia berkembang biak menjadi pelbagai rupa, ras bangsa malah mempunyai fizikal yang berbeza-beza sebagai salah satu tanda kehebatanNya sebagai Maha Pencipta yang agung.
Takdir itu walaupun telah ditetapkan olehNya namun manusia telah diberi kemuliaan dengan akal dan nafsu untuk membuat pilihan dalam menentukan nasib akhir mereka menuju ke alam abadi iaitu seperti mana yang disampaikan oleh Rasulullah (Muhammad SAW) sehasta jaraknya untuk ke syurga atau neraka.
Nasib akhir kehidupan manusia sememangnya telah ditentukan atas kehendakNya yang dinaungi oleh sifat Arrahman dan ArrahimNya dan Dialah Tuhan yang telah mengharamkan keatas diriNya dari berlaku zalim keatas makhluknya namun kerana kedegilan, kesombongan dan kebodohan merekalah menyebabkan tersingkir ke tempat pengakhiran dengan kecelakaan neraka seburuk-buruk tempat tinggal.
Kesombongan adalah sifat celaka yang bermula oleh makhluk derhaka (Iblis) dengan hasutan (syaitan) yang cemburu dengan sifat-sifat kemuliaan yang diberikan Allah SWT. kepada manusia menyebabkan ianya bersumpah untuk menarik seberapa ramai manusia untuk bersama-sama mereka menghuni neraka.
Makhluk yang derhaka ialah makhluk yang sombong dengan Tuhannya sepertimana Iblis yang mempertikaikan kehendak Allah SWT. dalam mencipta manusia dengan memperlekehkan asal kejadian seperti bahan tanah dan bahan api yang hanyalah benda fizikal (jasmani) bukannya sifat kerohanian yang perlu diutamakan iaitu patuh dan tunduk (takwa) sebagaimana yang sering dipertegaskan oleh Allah SWT. dalam firman-firmannya.
Kedangkalan makhluk bernama Iblis yang berasa sombong atas kedudukannya sebagai makhluk paling alim dengan mempertikaikan TuhanNya atas kehendakNya menciptakan manusia dari bahan tanah yang difikirkan lebih rendah mutu dan kualitinya dari bahan api yang dirasakan lebih baik walaubagaimanapun dia lupa itu semua tidak dipandang oleh Allah SWT kerana sebaik-baik makhluk adalah yang paling patuh dan tunduk atas perintah dan kehendakNya.
Cahaya adalah bahan yang mempunyai sifat kemuliaan dan patuh sepertimana malaikat-malaikat diciptakan darinya dan manusia menjadi istimewa kerana cahaya Allah SWT. menjadi panduan melalui para utusan-utusanNya yang mulia dengan memberi peringatan sezak zaman berzaman sehingga ke penutup segala Nabi dan Rasul Muhammad SAW. dengan kitab yang agung iaitu Al-quran Al-Karim.
Segala ketentuan atas segala sesuatu itu telah pun ditentukan olehNya dan dihimpunkan dalam satu kitab yang agung di lauh mahfuz yang mulia dengan urusan tadbir bagi seluruh alam meliputi langit dan bumi dengan keagungan zatNya yang mulia dan bersemayam di Arasy yang agung dan kita sebagai makhluk yang diberi kehidupan dengan sifat-sifat yang lemah sebagai hamba hanya mampu berharap, meminta dan sedaya upaya taat bertakwa kepadaNya kerana tujuan Dia menciptakan semua makhlukNya termasuk manusia hanyalah untuk beribadah kepadaNya dengan mengharungi ujian-ujian dalam ketetapan takdirNya didalam rahmatNya.
Comments
Post a Comment