DUNIAKU, DUNIA MEREKA DAN DUNIA KITA

Aku datang dari jauh bukan untuk mengeluh dan merusuh apatah lagi menjadi bodoh,

Aku dikerah untuk berpeluh dah memilih jalan baik atau jalan buruk,

Aku hidup dengan nyawa berjasadkan jasmani manusia dari tanah yang terhampar,

Aku diberi pakaian siang untuk berusaha dan selimut malam untuk beribadah tanpa leka,

Aku sentiasa lalai dan cuai akan ujian yang senantiasa menerpa,

Aku jika gagal akan menjadi mangsa serigala atau menjadi domba yang hilang dari kawanan dilupakan tuannya,

Aku tidak tahu nasib baik burukku kecuali merayu dan mengadu,

Aku perlu mengenali Dia Sang Pencipta untuk kenal diri ini makhluk hina dina dari cairan benih senggama,

Aku perlu melangkah setiap tapak bukan celapak dan bergerak dengan riak,

Aku perlu sedar untuk bersihkan jiwa bukan terpedaya atau berpura-pura lupa akan asal usul makhluk bergelar manusia,

Aku perlu menagih simpati dan tekad dihati agar jiwa dan raga diredhai olehNya.

Mereka bising seperti deringan loceng membuatkanku ingin mengasing,

Mereka cemburu denganku kerana mereka tahu asal-usul penciptaanku dan tujuan hidup dan matiku,

Mereka bongkak dengan leluhur manusia pertama kerana merasakan darjatnya lebih awal dicipta bukan pula penghuni syurga,

Mereka tanpa putus asa akan cipta apa sahaja agenda menggelincirkan manusia,

Mereka dan gerombolannya bersumpah setia menyesatkan manusia sebahagiannya,

Mereka sombong dengan Maha Pencipta kerana enggan menurut perintah walaupun dulunya ahli ibadah,

Mereka curang dengan manusia kerana ego dan berasa Tuhan itu menyebelahinya,

Mereka mempersenda suratan sang Maha Perkasa kerana lewa suratan takdirNya,

Mereka bersumpah dengan bersahaja bila dicela dan dilaknat untuk berkhianat menarik manusia ke neraka,

Mereka tiada takwa kerana sanggup melawan sang Maha Pembinasa tanpa ingin bertaubat kepadaNya.

Kita hanyalah hamba yang berbekalkan nafsu didada dan akal dikepala,

Kita sering lupa dan selalu menerpa sahaja tanpa menoleh dimana kiri dan kanan jalanNya,

Kita sering bersenda dan membuang masa kerana alpa tentang hari pertemuan denganNya,

Kita sentiasa melulu bagai angin yang menderu mengikut nafsu dan hasutan makhluk itu,

Kita sentiasa berbalah dari rumah, sekolah hingga ke madrasah buatkan hubungan menjadi retak dan terbelah,

Kita punya hasad yang menjadikan sesat kadangkalanya berasa kuat lupa akan sifat kudrat dan iradat Dia Azzawajalla,

Kita sentiasa rasa berat untuk bertaubat kerana tidak melihat hakikat mengapa syurga dan neraka itu dicipta,

Kita lalai dengan amaran sisa masa nyawa yang ada atau hingga mentari terbit dari barat,

Kita suka berbantalkan angan bertilamkan cita kerana buta akan luas ruang untuk berseloka di dunia,

Kita hanya bersarungkan jasad sementara menanti hari ditiupkan sangkakala,

Kita dalam perjalanan seorang hamba yang menuju ke Tuhannya dengan beban dosa dan pahala yang akan dihisabNya,

Kita diberi perkara tidak disukai bagi syurga untuk dinikmati dan perkara disukai syahwat untuk neraka tempat kembali yang ngeri,

Kita hanya dapat berharap kepada Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih Tuhan yang mempunyai asma ul husnaNya.

Salawat dan salam kepada Rasulullah saw serta para kerabatnya dengan istighfar dan taubat segala puji bagi Tuhan Maha Penyantun dengan segala kebesaran serta Dialah Tuhan yang mempunyai Arasy yang Agung.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya