PERMINTAAN DAN HARAPAN ADALAH TAKDIR SEORANG HAMBA

Manusia adalah sebaik-baik penciptaan oleh Yang Maha Esa kerana ia telah dipilih sebagai khalifah (pentadbir) yang diberi amanah untuk memakmurkan bumi ini yang dahulunya mati dan dihidupkan oleh kehidupan yang diciptakan bermulanya dari air. Manusia diciptakan dengan sifat-sifat yang telah dipunyai oleh haiwan namun dilebihkan dengan akal yang membolehkan mereka berkembang menjadi makhluk moden yang mampu menguasai segalanya yang ada di bumi. Apabila Allah swt menciptakan manusia, makhluk inilah yang mengaku dan mengesakan Tuhannya dan menjelaskan lagi kemegahan dan keagungan Allah swt sebagai sebaik-baik pencipta dan Tuhan yang tunggal untuk disembah kerana akalnya telah diberi kebebasan untuk memilih mengikut kemahuannya.

Sejak penciptaan manusia pertama tuhan telah menceritakan melalui penyampaian Rasulullah saw mengenai keinginannya yang kuat serta naluri yang sentiasa berharap dan selalu meminta-minta. Manusia memang diciptakan dengan sifat tergesa-gesa sebaik sahaja menghembus nafas yang pertama dan kemudiannya meminta teman hidup kerana berasa kesunyian ketika di syurga. Manusia akan kalah dengan impian dan harapan kerana nafsunya mempunyai keinginan dan mendambakan apa yang belum menjadi kenyataan maka ia akan memasang harapan dengan membuat permintaan. Begitulah hakikat penciptaan yang mahu ditunjukkan oleh Yang Maha Pencipta iaitu manusia yang selalunya mempunyai harapan melalui permintaan-permintaan kepadanya bukan kepada makhluk lain yang diciptakan oleh Allah swt (menyekutukannya).

Allah swt adalah tuhan yang esa dan selayaknya diagungkan oleh semua makhluk yang diciptakannya terutamanya manusia yang mempunyai akal dan nafsu serta diberi amanah untuk menundukkan makhluk selainnya kecuali malaikat yang menjadi utusan tuhan yang patuh kepada perintahnya. Manusia diciptakan untuk mengabdikan diri kepadanya serta menjadi wakil mengurus urusan pentadbiran dunia dengan amanah yang dijunjungnya. Itulah hakikat penciptaan manusia yang telah diciptakan dengan naluri sebagai hamba yang memerlukan kekuasaan sang pencipta dalam melayani keinginan mereka dan memasang harapan agar segala permintaan mereka dikabulkan. Manusia juga diciptakan dengan sifat utama mereka iaitu pelupa yang akan sentiasa menjadi penyebab kepada kelemahan mereka, sikap tergesa-gesa yang membuatkan mereka hilang punca serta nafsu (keinginan) yang membuatkan akal fikiran mereka buta.

Setiap makhluk yang dicipta mempunyai jalur perjalanan takdir sendiri yang telah ditentukan dengan pilihan terletak pada akal mereka terutamanya manusia yang boleh berfikir secara logik dalam menguasai apa sahaja yang telah dibentangkan oleh Allah swt di bumi. Manusia adalah makhluk yang istimewa kerana diberi kemampuan untuk menguasai bumi ini sebagai tempat kediaman mereka namun mereka akan melupakan perjanjian mereka dengan tuhannya tentang dunia yang sementara ini dan mengabdikan kepada tuhan. Perjalanan kehidupan ini memerlukan berbagai permintaan dan harapan kepada tuhan kerana dunia ini penuh dengan pancaroba dan ujian yang telah ditetapkan untuk menguji hambanya yang tidak lupa kepada penciptanya.

Manusia dalam keadaan tergesa-gesa menunggu untuk mencapai permintaan yang menjadi harapannya dikotakan oleh tuhannya akan dipancing oleh nafsu dan sifat pelupa yang akan membuatkan mereka alpa. Mereka akan diuji untuk cuba mencari makhluk lain yang menjadi sekutu tuhannya dengan bisikan makhluk bernama iblis dengan perangai syaitan yang menhasut ke jalan keburukan. Manusia akan sesat dan menjadi derhaka dengan sifat-sifat tergesa-gesa melupakan tuhan dan mencari makhluk lain sebagai tempat mereka meminta dan membuat penyembahan. Tuhan akan sentiasa memperingatkan manusia dengan menjadikan manusia terpilih sebagai Rasul bagi memberikan peringatan kepada manusia lain yang tersesat atas jalan takdir yang mereka pilih.

Allah swt adalah satu-satunya tuhan yang layak disembah dan tiada tuhan lain yang wujud kerana semuanya yang wujud di depan mata manusia adalah makhluk ciptaan tuhan yang esa. Jika tuhan itu sendiri dicipta oleh pihak lain maka ianya bukanlah tuhan kerana tuhan itu tunggal dan berdiri dengan sendiri tanpa bergantung dengan sesuatu apapun. Dalam membuat permintaan atas sesuatu harapan manusia akan sentiasa berasa tergesa-gesa dengan membuka peluang kepada makhluk penghasut untuk menggelincirkan mereka dengan diperdaya untuk menyekutukan tuhan dan menjadi penderhaka. Itulah perjanjian makhluk dipanggil Iblis yang tidak redha akan kejadian manusia yang dipilih Allah swt sebagai khalifah dimuka bumi dengan menderhaka akan peritah tuhannya dan akan sedaya upayanya menyesatkan manusia menjadi penderhaka dan isi neraka dihukum bersama mereka.



Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya