PENGORBANAN ADALAH SYARIAT TUHAN

Hari ini adalah hari yang ketiga dalam hari-hari tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah 1441 Hijriah bagi semua umat Muhammad SAW yang patuh dengan sunnah dan perintah tuhanNYA. Pada tiga hari selepas 10 Zulhijjah (Eiduladha) ini kita semua digalakkan untuk memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT selain ibadah khusus iaitu menyembelih binatang ternakan dan diagihkan kepada fakir miskin, jiran tetangga, sanak saudara serta masyarakat sekitarnya.

Asas kepada perayaan ini adalah bagi mengenangkan peristiwa kepatuhan Nabi Ibrahim AS keatas perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Ia sebenarnya bukanlah bermaksud Allah SWT itu zalim tetapi inilah ujian yang perlu dilalui oleh kedua-duanya iaitu si bapa dan si anak. Peristiwa ini juga bagi menjadi pengajaran kepada semua manusia yang beriman tentang betapa pentingnya menuruti perintah Allah SWT tanpa ada dolak-dalik walaupun ianya amat berat untuk dilakukan. Ibrahnya ialah pengorbanan harus dilakukan oleh orang-orang beriman atas perintah Allah SWT kerana dalam firmannya, "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? (Alankabut :2 ).

Bagi menjalani kehidupan sebagai manusia yang membuat kebaikan dan menjadi manfaat kepada manusia lain pengorbanan harus dilakukan. Sifat pengorbanan ini akan lahir secara semulajadi jika ianya datang dari perasaan cinta dan kasih sayang. Manusia mempunyai naluri kasih sayang melalui rahmat Allah SWT dan sanggup membuat apa sahaja demi orang yang mereka sayang walaupun sanggup bergadai nyawa. Pengorbanan terhadap agama juga begitu apabila rasa kasih dan sayang selain kecintaan kepada Allah SWT diterjemahkan dengan menjalankan segala perintahNYA tanpa beralasan lagi dan sanggup menerima segala risiko. Ibadah korban yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada manusia terdahulu sejak zaman Nabi Adam AS sehingga Nabi Ibrahim AS adalah lambang kesediaan manusia sebagai makhluk Allah SWT untuk  menjalankan segala perintahnya tanpa ragu-ragu.

Pengorbanan dapat menjadikan manusia untuk tidak mementingkan diri sendiri dan mengutamakan manusia lain dalam menjalani kehidupan seharian. Hubungan sosial manusia memerlukan pengorbanan bukan sahaja dalam bentuk material tetapi juga masa serta tenaga dan yang paling tinggi adalah nyawa sendiri yang menjadi galang gantinya. Betapa kita boleh melihat bagaimana manusia sejak dahulu lagi sanggup mengorbankan diri demi menunjukkan kecintaan dan kasih sayang mereka sesama manusia. Sifat pengorbanan inilah menjauhkan manusia daripada sikap mementingkan diri seperti tamak haloba serta menzalimi manusia lain. Oleh kerana itu Allah SWT menjadikan ibadah korban ini satu syariat yang diperintahkan melalui penyembelihan binatang yang memerlukan sumbangan wang ringgit, tenaga serta masa dalam mempraktikannya.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya