andai mahu hidup tenang - 47



بسم الله الرحمن الرحيم
السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم
"Hidup ini adalah penghijrahan. Kita berhijrah dari tiada ke rahim ibu, kemudian ke alam dunia, dan apabila mati kita ke alam barzakh, dan kemudian datang hari kiamat kita akan dibangkitkan dan menjalani proses dihisab amalan, dan menunggu sama ada neraka atau syurga destinasi kita"
Kehidupan kita di alam sana, bukan nya sekejap. Lama. Malah, tersangat lama.
Sama ada kekal bahagia atau kekal derita, tiadalah sama langsung dengan kehidupan di dunia.
Bahagia dan derita di dunia hanya sementara, namun andai di akhirat sana, kekal selama-lamanya.
Pernah terfikir tak apa nasib kita di sana?
Adakah kita menanti dengan penuh peluh resah?
Allahu Rabbi.
Sanggup kita bermalasan lagi di dunia, padahal kita tahu dunia hanya lah persinggahan dan ianya persinggahan yang sangat sekejap. Di sini lah kita kumpul amal untuk bekalan nanti.
Tapi kita masih leka; mengumpul hanya beban bukan bekal. Kerana mungkin kita telah tertipu dengan dunia, walaupun nampak penuh dengan nikmat, namun nikmat tersebut pasti akan habis binasa.
Seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, dalam surah Al-Hadid, ayat 20, Allah swt berfirman yang maksudnya
"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta
perhiasan (yang mengurang), juga
(bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta
berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;
(semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya,
kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai;
dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu),
dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat).
Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya"
.


Adakah kita sangat fikirkan tentang dunia, hingga kita lupa dan melanggar syariat dan perintah Allah swt, hingga sanggup membuat apa sahaja demi mendapat habuan di dunia?
Ketahuilah jika itu yang sering kita lakukan, itu semua hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang tertipu dengan dunia. Fikirkanlah demi keselamatan kita di sana.


Sabda Nabi Muhammad SAW, “Syurga itu lebih hampir dengan kamu daripada tali sepatu kamu sendiri, dan neraka pun demikian.” Maknanya, kita sangat dekat dengan akhirat. Apakah perpindahan yang paling dekat? Pindah masuk ke alam akhirat!
Hari ini kalau nak pindah rumah, katakan ke taman sebelah saja, berapa banyak masa yang diperlukan? Perlu panggil lori, nak kemas barang, nak masukkan barang dalam lori, nak keluarkan barang dari lori, dan kemas semula – berapa hari kita perlukan?
Tapi, perpindahan ke alam akhirat – datang saja malaikat maut – terus kita dapat lihat perkara yang sebelum ini kita tidak dapat lihat. Satu orang meninggal pagi, dan sekejap saja dia akan dikebumikan. Kalaulah contohnya seorang meninggal sekarang, mungkin akan dikebumikan malam ini atau paling lewat esok pagi. Jadi, renungkanlah kenapa kita tidak taat kepada Allah Ta'ala sedangkan kita pasti akan kembali kepada Allah Ta'ala.
Kita tahu segala yang kita buat, kita cakap, kita dengar, kita fikirkan, semuanya akan dihitung Allah Ta'ala.
Ini peringatan buat diri kita.
Kita yang sering terlupa.
Kita yang merasa senang duduk di zon yang selesa.
Kita yang sering terlupa, bahwa ada kehidupan yang lebih menguntungkan di sana.
Kita yang pelupa, dan seorang pendosa.

والله أعلمُ بالـصـواب

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya