Sekolah Ramadhan yang dicemari...

Sejak kehidupan ini meniti tahun demi tahun dalam mengharungi arus perubahan zaman dengan kepelbagaian cara kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran terutamanya dalam Bulan Ramadhan. Bulan yang ternukil namanya di dalam Al-Quran dengan kelebihan ganjaran pahala ibadat yang menyamai 1000 bulan itulah janji tuhan yang amat diharapkan.

Ibadat puasa yang menjadi Rukun Islam menjadi agenda utama bagi Umat Islam memenuhi tuntutannya selain menggandakan ibadat2 sunat yang ditawarkan ganjaran sehebat ibadat fardhu. Bulan ini pada awalnya akan menjadikan institusi masjid penuh sesak dengan pelbagai aktiviti pada malamnya dengan 'main course' utama bersolat tarawih berjemaah beramai-ramai. Terdapat juga beberapa masjid yang menganjurkan tazkirah dan kuliah ilmu dalam menambahkan lagi objektif Ramadhan sebagai bulan yang penuh tarbiah setelah Syaitan di kekang untuk menghasut anak-anak Adam.

Namun begitu, nafsu setiap insan yang selalu dirangsang dan dihasut sang syaitan selama 11 bulan menjadi duri dalam daging setiap Umat Islam sebenarnya. Nafsu sebenarnya adalah keinginan sanubari keatas sesuatu keseronokan yang menyukakan hati. Ia adalah salah satu komponen (makhluk) yang ditempatkan dalam jasad manusia selain roh dan akal. Sebelum di masukkan kedalam badan Nabi Adam a.s ia telah diberikan perjanjian untuk mengaku siapakah tuhan yang menciptakannya, di rendam beratus tahun di neraka sehinggalah ia mengaku bahawa Allah swt adalah tuhannya. Begitulah kedegilan nafsu yang sememangnya diciptakan sebegitu agar menjadi pencabar dalam ujian kehidupan keatas setiap roh anak Adam.

Umum mengetahui bahawa Ramadhan yang datang berulang-ulang bergilir-gilir meliputi setiap Bulan Masihi (11 hari lebih awal setiap tahun) kerana ia berlangsung mengikut perkiraan Qamariah (bulan mengelilingi Bumi) dengan hikmahnya akan berada di setiap 4 musim bagi negara-negara bermusim. Itulah hikmahnya bila Maha Pencipta yang tahu akan segala ciptaannya membuat peraturan hambanya. Tahun ini ia datang pada musim panas (bagi negara hemisfera utara) akan menyebabkan negara seperti Denmark akan berpuasa selama 21 jam 30 minit dan Britain selama 17 jam. Manakala bagi Argentina akan berpuasa hanya selama 9 jam dan Australia selama 10 jam sahaja. Bagi negara yang berhampiran dengan garis lintang (khatulistiwa) seperti Malaysia purata waktu berpuasa ialah selama 12-13 jam setiap hari. Begitulah uniknya ibadat ini yang sememangnya bergantung kepada pergerakan Bulan dan Matahari yang telah ciptakan bagi kemudahan manusia selain untuk mengira hari dan masa.

Pencemaran yang sering berlaku keatas Ramadhan ialah sifat pembaziran yang sering diasuh syaitan kepada umat manusia. Pembaziran yang pertama ialah Masa, selama beberapa jam berpuasa berapa peratuskah ibadat yang kita lakukan sebagai penambahan pahala. Seterusnya adalah pembaziran makanan, secara umumnya jika di Malaysia pesta juadah berbuka akan menjadi satu budaya sehinggakan ia menjadi satu tempat tumpuan utama bagi semua orang tanpa mengira fahaman agama.  Hakikatnya apabila selera makan kita dikekang maka keinginan untuk makan bertambah kerana perasaan lapar akan menyebabkan manusia akan menjadi separa waras apabila berpeluang menjamu selera. Selera makan adalah kehendak nafsu yang utama kerana apabila tuntutan untuk makan dipenuhi, barulah nafsu akan mendapat 'tenaga' bagi mengawal jasadnya. Pembaziran akan berlaku apabila hidangan akan melebihi kemampuan untuk makan sehingga ianya akan menjadi tatapan sahaja seterusnya menjadi makanan 'tong sampah' yang akan dibuang begitu sahaja. Apakah tidak berdosa jika kita membuangnya?itula hakikat yang perlu ditelan namun sifat ketulian akan membutakan kita kerana kita dilimpahi dengan kemwahan makanan 1001 aneka.

Di penghujung Ramadhan lazimnya ramai yang akan alpa tentang objektif sebenarnya bulan menggandakan pahala kerana kita akan mengutamakan persiapan menjelang hari raya. Ia sebenarnya adalah hari gembira atas usaha kita dalam memperolehi RahmatNya, KeampunanNya dan pembebasan dari NerakaNya namun akan lupa segalanya kerana fokus raya menjadi terlalu penting untuk diraikan. Pembaziran dengan segala persiapan dengan pakaian yang ingin dipakai untuk menjadi kebanggaan dan menunjukan kemewahan yang ada. Ia adalah hari raya yang dipengaruhi oleh penganut-penganut agama lain yang difirmankan oleh Allah swt sebagai menjadikan agama-agama mereka itu sebagai perkara keseronokan dan senda gurau semata-mata.

Apabila kita tidak langsung memikirkan tujuan Ramadhan itu sebagai bulan menggandakan ibadah dari biasa menyebabkan kita termasuk golongan yang menjadikan agama kita sebagai suatu keseronokan dan senda gurauan yang langsung menyimpang dari ajaran Rasul saw yang tercinta. Pencemaran ramadhan akan berterusan selagi kita tidak mahu atau sengaja tidak memahami tujuan Ramadhan ini diraikan akan menambahkan lagi jarak kita dengan tuhan selain betapa berjayanya hasutan syaitan dalam menarik seberapa ramai anak Adam ke dalam lembah kesesatan dan berpaling dari rahmat tuhannya.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya