Islam memang berkebajikan

Bukan mudah untuk Islam ini cemerlang pada zaman yang dikatakan menuju pada penghujungnya. Jika kita membaca tentang hadis-hadis akhir zaman, tanda-tanda kecilnya telah terjadi dan berlaku seperti yang disabda junjungan mulia SAW. Ia telah bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing, maka bahagialah orang-orang yang terasing (dagang).

Bila kita membaca catatan-catatan sejarah, selepas kejatuhan pemerintahan Khalifah Islam yang terakhir (Ottoman Empire) maka segalanya telah runtuh bukan dari segi fizikal berbentuk istana dan masjid mewah namun segala sistem pengurusan dan pentadbiran itu sendiri yang terhapus satu persatu. Sistem ini telah dianggap jumud, tidak ada inovasi dalam etika pemerintahan namun masih ada yang dipakai namun ditukar secara metodologi yang berbeza. Lihat dizaman kelemahan serta kejatuhan pemerintahan islam apabila ia telah berpecah seperti piring yang dulunya kukuh namun telah diretakkan satu persatu kemudian terbelah dan menuju kepada satu kehancuran.

Dunia keterasingan ini sebenarnya telah lama hilang apabila kebanyakan pemerintah dan negara islam kembali bangun serta sedikit demi sedikit mencipta kejayaan dari sumber kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Namun usaha untuk bangkit itu bukanlah seperti zaman pemerintahan khalifah pada zaman para sahabat dan tabi'in kerana sistem pemerintahan telah bertukar menjadi demokrasi serta monarki tinggalan zaman pertengahan abad 18 yang masih digunapakai namun agak cenderung dengan monarki yang ada di negara-negara barat. Pihak Authoritarian ini perlu bersekutu dari mana-mana blok barat terutamanya Amerika dan Russia yang memegang kuasa ketenteraan terutama pada musim Perang Dingin. Golongan bangsawan dan aristokrat perlu sekufu atau dilihat mempunyai idea dan pemikiran yang selari dengan mereka serta berpolitik seperti mereka. Ini terjadi disebabkan oleh perluasan kuasa oleh kuasa-kuasa asing ke atas negara-negra timur terutamanya negara-negara islam kerana angin dendam perang salib masih lagi menjadi salah satu agenda selain ketamakan kapitalis barat terhadap sumber bahan mentah setelah revolusi industri di eropah bertambah maju.

Usaha bagi memajukan negara sebenarnya agak sukar kerana sistem yang tersedia dan telah menjadi 'standard' antarabangsa bukanlah dari warisan ambiya'. Menjadi bertambah sukar apabila penyakit terlalu mencintai dunia sebagai candu para pemerintah sehingga lupa kepada taraf hidup rakyat jelata yang masih melarat dan berlapar. Kemewahan pada harta negara mungkin untuk manfaat semua namun jika kemewahan yang berleluasa dikalangan elit dan keluarga mereka sahaja telah mengundang laknat ALLAH swt seperti yang dinasihatkan oleh Saidina Ali r.a kepada Khalifah Uthman. Kebanyakan pemerintahan yang dimiliki oleh negara-negara islam terlalu mengejar kemewahan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat jelata kerana masih ramai diantara mereka hidup dibawah paras kemiskinan.

Sistem demokrasi perlu diikuti kerana ia telah menjadi penting untuk berkuasa pada zaman ini kerana inilah sebahagian sistem siasah kehidupannya. Negara-negara yang telah dijajah pada awal abad ke 15 sehingga abad ke 20 telah mengalami satu proses revolusi pemikiran, budaya serta bahasa kerana mereka telah diperintah oleh satu kuasa asing yang dibawa oleh para penjajah yang bernaung dibawah sistem kolonial mereka. Mereka ini memang mempunyai cara dan gaya pemerintahan yang berbeza namun mempunyai satu semangat yang sama iaitu monopoli sumber bahan mentah bagi memajukan industri negara mereka. Para penguasa atau ketua tempatan telah berjaya didampingi serta dipengaruhi atas nama inginkan kemajuan namun secara terancang dengan menguasai pemikiran mereka dan jangan terlalu mengagungkan sistem islam kerana ia adalah hakmilik Arab dan budaya mereka. Apabila para pembesar Ottoman mula merasakan ingin lari sedikit demi sedikit dari sistem yang berwajahkan islam (arab), berjayalah mereka para cendiakawan barat (Yahudi) menguasai pemikiran mereka.

Setelah beratus-ratus tahun dijajah bukan sahaja dari teknologi fizikal yang berubah malah cara mereka berfikir dan terlalu menyanjungi barat menyebabkan mereka buta akan keunikan sistem pemerintahan tulen islam yang diwarisi oleh para sahabat dan tabi'in. Kerosakan sistem khalifah islam yang lebih mengutamakan keluarga dan golongan kaya menyebabkan sistem itu rosak menjadi monarki dan agama telah melekat dan diperguna seperti bencinya golongan reformis barat terhadap kekuasaan gereja ke atas keluarga diraja apabila mereka mencampur aduk antara istilah berkuasa, berkeluarga dan beragama. Agama adalah cara hidup dan cara hidup yang diredhai ALLAH hanyalah islam. Namun teknologi, sains dan disiplin ilmu keduniaan tidak perlu diabaikan kerana didalam Al-Quran itu sendiri sarat dengan panduan terhadap semuanya dari yang MAHA PENCIPTA langit dan bumi, bulan dan matahari serta kejadian siang dan malam yang amat tinggi ilmunya kepada seluruh umat manusia yang belum megetahui. Setiap zaman para nabi asentiasa ada teknologi yang dianugerahi seperti mana dizaman Nabi Nuh a.s, Daud a.s. dan Sulaiman a.s.

Islam adalah rahmat sekelian alam kerana ia adalah untuk manusia bukan hanya untuk penganutnya sahaja. Telah diakui oleh para cendikiawan ketamadunan islam memang tiada tolok bandingnya namun kerana ketamakan dunia ia telah menjadi rosak dan tidak 'berkebajikan' serta keberkatan hilang dari rahmat tuhan. Kebanyakan saf pimpinannya terlalu menjaga perut dan mengutamakan ahli keluarga terdekat sahaja. Merekalah golongan yang tidak pernah puas dengan kemewahan dunia sehingga menimbunkan emas dan perak hanya untuk kepuasan mata memandang. Mereka lupa bahawa setiap harta ada haknya dan saluran untuk dibelanjakannya. Mereka lupa untuk bersedekah dalam (kesihatan) dan (pendidikan) rakyatnya kerana keuntungan dari riba' telah mengelabui pandangannya. Jika kita melihat kembali cara dan metodologi pemerintahan Khalifah Umar dan nasihat Saidina Ali didalam pemerintahannya menyebabkan khazanah negara dikongsi bersama sehinggakan amat sukar untuk melihat rakyat yang melarat sehingga wilayah islam pada masa itu tersebar luas dari timur ke barat. Harta rampasan perang akibat dari pperluasan kuasa dan pembebasa wilayah-wilayah kekuasaan Rom dan Parsi namun khalifah pada masa itu amat takut akan kemewahan. Tiada lagi pemerintah sebegini pada zaman ini atau akan dipanggil 'orang zuhud' pada zaman Khalifah Usman yang menyebabkan beberapa sahabat dipinggirkan kerana menegur para pemerintah yang terlalu berbangga dengan kemewahan. 

Negara berkebajikan adalah sistem pemerintahan yang tidak mengutamakan kemewahan pemerintah mengatasi keperluan asasi rakyat terbanyak. Ia akan mengutamakan keperluan asas yang mudah didapati serta mampu dimiliki oleh semua golongan seperti bekalan air, tenaga, kesihatan, pendidikan dan sistem jalan raya. Bagi keperluan ekonomi pula ia perlulah jauh dari sifat menzalimi seperti sistem kewangan 'yahudi' seperti pembiayaan (riba'), komisen (jual-beli), keuntungan lebih (timbangan), pasaran saham dan mata wang yang hanya untuk menjadi kaya diatas ekploitasi beberapa pihak dan merugikan (kezaliman) kepada pihak tertentu sama seperti judi. Sebuah negara kebajikan adalah negara yang mempunyai harta dan kaya raya (tidak menanggung hutang) dan tiada siapa boleh menikmati kekayaan tersebut secara berseorangan kerana ia adalah milik negara. Jika seseorang pemimpin itu menjadi kaya setelah ia berkuasa maka itulah kesannya akibat dari hilangnya falsafah 'negara berkebajikan'. Kekayaan hanya berlegar dikalangan mereka dan bukan atas usaha dari titik peluh mereka. Ia adalah harta negara yang perlu dinikmati oleh semua tanpa diskriminasi agama. Islam telah mewujudkan dana sendiri untuk umatnya seperti zakat dan dana wakaf. 

Kebanyakan negara kaya di dunia pada hari ini menanggung hutang yang banyak diatas kebocoran khazanah negara yang diselewengkan oleh mereka yang berkuasa. Lihat sahaja negara yang dianggap paling kaya yang berdiri megah dengan tangungan hutangnya yang amat banyak. Kepada siapakah negara ini berhutang?Mengapakah mereka berhutang? dan siapakah pihak yang mendapat untung apabila mereka berhutang? Persoalan ini masih menanti jawapan namun sebenarnya jawapan tersebut adalah takdir yang sentiasa terjadi pada masa-masa hyang akan datang. Bebanan hutang akan dibahagikan kepada perkapita rakyat dan penanggung hutang ialah setiap warga walaupun mereka baru lahir ke dunia. Tiada kebajikan dikecapi namun setiap daripada kita merasai sogokan dan limpahan bau wangian kemewahan mereka. Kita sering tertanya-tanya mengapa jika semakin kaya semakin kita tersepit dengan masalah dunia. Itulah akibatnya apabila sesebuah negara ingin maju maka rakyat perlu berbelanja lebih, mengikut peningkata pendapatan perkapita dan kenapa jika negara semakin maju hutang semakin menambah. Harta riba' dengan laba yang besar selalu dibazirkan untuk tujuan peperangan, hiburan dan pembinaan kompleks-kompleks lambang kemewahan negara. Kemewahan yang dikecapi bukan sahaja oleh pemerintah serta golongan mereka (elit) telah menjadikan sebahagian rakyat melarat dari keperluan atau inginkan kemewahan sehingga mencabuli moral (kecurian dan rampasan hak) oleh golongan terdesak muncul dimana-mana sahaja kerana mereka juga inginkan kemewahan walaupun tidak setanding dengan pendapatan dan usaha mereka akibat tiada pendidikan dan dipencilkan.

Pada zaman ini, tiada orang kaya yang letih dengan kemewahan kerana nafsu dan keinginan sentiasa berputik diatas kemampuan. Semua manusia hari ini secara tidak langsung bertuhankan kemewahan dan sentiasa mencari kepuasan semaksima mungkin diatas kemampuannya. Negara semakin kaya namun masih ada rakyat yang menderita dan tidak tergolong dalam perkapita negara. Rakyat semakin kaya namun pembaziran dan kemewahan menjadikan mereka lupa hak keatas hartanya. Diri semakin kaya namun bila terlalu mencintai dunia akhirat akan terpinggir sejauhnya. Beruntunglah orang yang menggunakan dunia untuk kaya dan bermewah pada kehidupan abadinya (akhirat).

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya