Bagaimanakah mencintai Rasulullah?

Telah berlalu satu hari yang merupakan ulangtahun kelahiran seorang rasul dan junjungan besar serta seorang manusia yang paling berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut. Baginda Rasulullah yang bernama Muhammad bin Abdullah, seorang utusan akhir membawa ajaran tauhid yang hanif dari Maha Pencipta.

Baginda telah meninggalkan kita selama 1379 tahun yang lalu dengan mewariskan beberapa generasi hingga Islam menjadi agama terbesar didunia dan pernah mempunyai wilayah kekuasaan 1/3 dunia. Para sahabat yang pernah hidup bersama baginda amat mengasihi dan menyanjungi baginda tanpa ada rasa prejudis ditambah pula dengan ciri-ciri keterbukaan dalam kepimpinannya. Baginda memang sebaik-baik pemimpin yang diturunkan Allah s.w.t kepada manusia akhir zaman. Sebagai seorang pemimpin, suami dan bapa yang sentiasa mendapat petunjuk Allah s.w.t juga seorang hamba dan kekasihNYA.

Banyak tauladan serta contoh terbaik boleh diambil dari baginda dan jika kita lihat sejarah dan kita akan dapati ramai ulama-ulama masyhur dahulu berusaha keras bagi mencontohi baginda baik dari segi sikap mahupun cara berpakaian. Ramai yang bercita-cita mencontohi baginda kerana ia adalah figura akhir yang diturunkan tuhan sebelum satu peristiwa lipatan kehidupan dan hari kebangkitan semula. Setiap perwatakannya, pertuturannya serta cara kepimpinannya mempunyai 1001  hikmah yang boleh diikuti oleh seluruh umatnya. Semua orang islam begitu menyayanginya, setiap mukmin amat mencintainya dan semua manusia mengkaguminya kecuali mereka-mereka yang mempunyai penyakit dalam hati atau yang telah senang berada dijalan makhluk yang dibenci dan dilaknati. Bila kita bicara tentang 'idola' atau 'avatar' baginda adalah sebaik-baiknya makhluk yang terhebat sepanjang zaman.

Jika kita mengenang kembali dan menyelusuri perjalanan hidupnya melalui karya penulisan (Fajar di Hujung Malam - Dr. Hasan Ali) dan (Muhammad S.A.W - Martin Lings) dan berbagai lagi penulisan yang menjadikan diari kehidupannya sebagai satu kisah atau perjalanan sejarah yang amat berharga yang dikurniakan tuhan kepada kita. Baginda sememangnya di 'asuh' tuhan melalui perantaraan malaikatnya yang mulia Jibril a.s dengan anugerah maksum yang diterima baginda. Perjalanan hidup dari kecil yang penuh pancaroba mendewasakan seorang manusia yang begitu mulia ditengah-tengah masyarakat yang jahil dan tidak mengerti apa-apa tentang tujuan kehidupan. Apabila telah matang dan keluar dari dunia remaja ke alam dewasa baginda telah diangkat menjadi utusan rasmi yang Maha Esa membawa satu ajaran asing ditengah-tengah masyarakat di Lembah Bakka. Baginda bukan dipilih secara rawak atau pukul rata namun Allah s.w.t telah mentakdirkannya semenjak moyangnya Nabi Ibrahim a.s menadah doa setelah meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s ditengah2 lembah yang penuh berkah itu.

Kini ramai yang selalu meraikannya apabila genap setiap tahun dengan pelbagai cara dan acara. Dari segi penghayatannya sememangnya kita tidak akan melupakannya kerana saban tahun ia telah dijadikan cuti umum negara. Namun hakikatnya sejauh mana kita sebagai seorang individu yang bersyahadah mengakui kerasulannya namun masih lagi liat untuk mengikuti setiap jejaknya. Kita seharusnya sentiasa beriltizam dan bersemangat untuk mengambil seberapa banyak hikmah dan tauladan yang telah ditinggalkannya.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya