Tauhid dan Istiqamah

Bukan senang sebenarnya untuk membuktikan ketauhidan kita kepada Allah S.W.T. sehinggakan turunya satu peristiwa dalam hadis tentang Islam,Iman dan Ihsan. Tatkala Jibrail datang kepada  rasulullah lalu duduk sehiggakan lututnya bertemu dengan lutut baginda bertanyakan soalan tentang apa itu Iman, Islam dan Ihsan.

Ketauhidan sebenarnya adalah pembuktian zahir dan batin serta kepercayaan yang tiada sedikitpun keraguan tentang kepercayaan kepada Allah dan tidak menyamakannya sedikitpun dengan apa saja yang kita fikirkan. Sukar sebenarnya untuk kita lari dari perasaan membayangkan dia dan merasa gerun kepadanya setiap detik kerana dunia selalu melalaikan kita dengan segala urusannya. Oleh sebab demikian para ulama dahulu menyediakan kepada kita ilmu sifat 20 (sifat2 wajib dan sifat2 mustahil) bagi Allah walaupun ada segelintirnya menganggap ia bukan ajaran Rasulullah S.A.W. namun ia adalah kesinambungan darinya melalui para ulama muktabar yang sentiasa berpegang kepada janji2nya.

Kita perlu sedar sebenarnya Allah S.W.T adalah yang paling dekat dengan kita dari urat leher kita sendiri sehinggakan sebelum kewujudan kita diatas ehsannya siapalah kita. Kita hanyalah roh yg lemah diciptakan dengan kawalan akal dan bantuan nafsu diberi peluang bernyawa dengan selesa di dunia. Dijadikan kita untuk beribadah kepadanya walaupun dia tidak rugi sedikitpun jika semua makhluknya tidak taat namun rahmatnya mengatasi segalanya. Adakah kita masih mementingkan dunia dari kehendaknya?Kenapa kita masih lagi ragu-ragu untuk menunaikan segala apa yang diperintahkannya dan masih lagi memilih untuk tidak menerimanya.

ISTIQAMAH secara umumnya bermaksud menumpukan komitmen untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan kesungguhan. ISTIQAMAH adalah sikap terpuji yang perlu diamalkan oleh setiap individu Muslim. Ada beberapa perkara yang boleh menjana sikap
istiqamah dalam beribadah antaranya : 

1. Ilmu yang mantap Kekuatan ilmu adalah perkara utama dalam menjana rasa istiqamah. Melalui ilmu akan menumbuhkan keyakinan dan keimanan yang kukuh. Oleh itu, ilmu pengetahuan adalah perkara yang mesti dipelajari terlebih dahulu sebelum ibadah dapat dilakukan dengan sempurna. Ini kerana tidak mungkin seseorang itu tertumpu kepada sesuatu yang tidak ia ketahui hakikatnya. Perkaitan antara ibadah dan istiqamah telah diungkap oleh Allah Subahanahu Wataala sebagaimana firman-Nya yang tafsirnya: "Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepada-Nya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhi-Nya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus."(Surah Al Hajj ayat 54). Kemantapan ilmu akan menjadikan nilai ibadah lebih bermakna. Kita juga memahami tujuan ibadah tersebut, bagaimana perlaksanaan yang sebenar serta lebih yakin tentang hikmah-hikmah yang terkandung di dalam setiap ibadah. Ia juga mendorong seseorang Muslim itu melakukan ibadah bukan sekadar ikut-ikutan tanpa memahami tuntutan sebenar ibadah tersebut.  

2. Bersahabat dengan orang-orang yang beristiqamah Sahabat adalah cermin bagi seseorang sebagaimana yang telah dinyatakan oleh
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang bermaksud: "Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri)." (Hadis riwayat Al-Imam Abu Daud). Orang-orang yang berjiwa istiqamah akan sentiasa berbuat kebajikan, nasihat-menasihati dan tidak mudah berputus asa dan sabar dalam melaksanakan ibadah. Justeru itu, kita perlu berhati-hati memilih sahabat, kerana implikasi bersahabat amat besar dalam mempengaruhi mentaliti dan moral kita. 

3. Menghayati sirah orang-orang yang beristiqamah Sirah dan sejarah hidup orang-orang yang beristiqamah wajar dibaca dan dihidupkan di dalam diri kita. Dengan cara ini, pengaruh positif mereka bakal meninggalkan kesan yang baik kepada seseorang untuk menimbulkan keazamannya dalam meneladani kehidupan mereka. Sikap istiqamah mereka terpancar dari sudut keilmuan seperti kegigihan dalam menuntut serta menyampaikan ilmu dan menulis karya-karya ilmiah yang agung. Selain dari itu, umat Islam perlu juga sentiasa menghayati ketahanan daya istiqamah pejuang-pejuang terdahulu dalam jihad mereka menegakkan Islam dan ketabahan mereka ketika menghadapi kezaliman serta penganiayaan daripada musuh-musuh Allah. 

4. Mujahadah melawan nafsu Antara faktor yang dapat membantu kita untuk mencapai sikap istiqamah ialah mujahadah iaitu mengarahkan hati untuk berjuang melawan runtunan nafsu yang merangsang ke arah kejahatan. Di samping itu, keinginan nafsu serta kehendak-kehendak duniawi wajarlah dibimbing sehingga ia mejurus ke arah kebaikan dan keikhlasan, kerana Allah Subhanahu Wata''ala semata-mata. Memang tidak dapat dinafikan mujahadah melawan hawa nafsu itu tidak mudah, ia adalah suatu yang mencabar dan perlu ditempuhi bagi mereka inginkan jalan akhirat. Segala kesulitan dalam bermujahadah melawan hawa nafsu adalah ujian yang perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh dan sabar serta tawakal kepada Allah Subhanahu Wata''ala. 

5. Doa memohon pertolongan Allah Umat Islam perlu berdoa memohon pertolongan Allah Subhanahu Wataala dalam apa jua urusan hidup, sama ada di saat senang mahupun di waktu ditimpa kesusahan. Doa adalah senjata bagi orang mukmin dan dalam hal ini ulama hadis, Al-Imam As-Syaukani menyatakan bahawa doa merupakan darjat ibadah paling tinggi dan mulia. Justeru itu, umat Islam perlu menggunakan senjata rohaniah ini untuk memohon hidayah Allah supaya segala tuntutan akapat direalisasikan secara istiqamah dan dengan penuh rasa keikhlasan. Istiqamah merupakan keperluan asasi dalam segenap ibadah, kerana ia adalah bukti ketaatan dan kecintaan seorang hamba kepada Allah Subhanahu Wata''ala. Meskipun ibadah yang kita lakukan itu kecil sahaja, tetapi jika dilaksanakan secara istiqamah, maka ia lebih disukai oleh Allah berbanding yang besar, tetapi tidak disertai dengan sikap istiqamah.

Comments

Popular posts from this blog

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah