IMAM BUKHARI MUHADDIS AGUNG

Beliau bukanlah seorang arab, sahabat atau tabii'n yang hidup hampir dengan zaman Rasulullah SAW namun beliau berpeluang untuk berjumpa dengan ramai ulama-ulama hebat. Bapanya berguru dengan Imam Malik, seorang yang warak juga ahli perniagaan yang berjaya namun telah meninggalkannya semasa usia beliau masih kanak-kanak. Beliau lahir dan dibesarkan di Bukhara, sebuah wilayah jauh ke utara berhampiran Khurasan dalam kawasan geografi Uzbekistan sekarang. Beliau telah dilahirkan pada hari Jumaat, 13 Syawal 194H.

Ibunya telah membesarkannya bersama seorang adik lelaki dengan didikan agama tambahan pula beliau sememangnya mempunyai bakat dan daya hafalan yang kuat. Beliau pernah mengalami masalah penglihatan semasa kecil namun berkat doa ibunya, ianya telah pulih seperti sediakala. Beliau mempunyai semangat yang kuat untuk menghafal hadis dan bersungguh-sungguh memastikan setiap hadis tersebut benar-benar sahih dengan sanad dan jauh dari penambahan atau dicemari dusta. Beliau juga mempunyai bakat yang luar biasa kerana boleh menghafal berpuluh ribu hadis dengan sekali bacaan sahaja.

Zaman dimana beliau hidup ialah dibawah pemerintahan Abbasiyyah (Zaman kegemilangan) dimana zaman ini segala pembelajaran dan sesi syarahan menjadi aktiviti yang amat digemari oleh semua golongan. Beliau mula menghafal hadis dan berguru dengan semua ulama hadis yang berada di Bukhara sebelum mengikut ibunya menunaikan haji di Mekah dan Madinah bersama adiknya Ahmad dan terus menetap disana selama beberapa tahun dalam mempelajari ilmu hadis. Beliau bukan sahaja menghafal hadis-hadis sahih sahaja namun banyak menghafal hadis-hadis palsu yang berjumlah ratusan ribu.

Selepas era pemerintahan khalifah sahabat, muncul dinasti-dinasti khalifah yang sering berperang sesama mereka akibat perselisihan pendapat, fatwa serta pertembungan mazhab-mazhab. Walaupun di zaman ini perluasan wilayah Islam semakin luas namun ianya banyak memberi kesan buruk kepada akidah ummah dengan penyebaran beratus ribu hadis palsu bagi menyokong setiap pemerintahan. Islam dari segi pemerintahan dan ketenteraan memang kuat namun dalam bidang ilmu wahyu menjadi kucar-kacir dan huru-hara akibat pertembungan cara fikir mewujudkan kumpulan pelampau seperti muktazilah, syiah dan ri'ya (pentaksub mazhab hanafi).

Allah SWT itu Maha Berkehendak maka dengan takdirNYA muncul seorang manusia yang luar biasa menjadi pembela agamaNYA. Muhammad bin Ismail dengan perwatakan sederhana, warak dan amat berhati-hati dalam setiap tindak tanduknya telah bersungguh-sungguh mengumpul sebanyak mungkin hadis-hadis yang bersanad atau yang tidak bersanad (diragui kesahihannya). Beliau dianugerahkan kemahiran dapat menyelidiki (tabayyun) setiap hadis yang didengari bagi memastikan ketulenannya. Pada masa dimana umat Islam ketika itu berlumba-lumba mendapatkan ilmu, beliau telah berusaha memastikan setiap hadis yang merupakan cabang ilmu Islam kedua tertinggi selepas Al-Quran benar terpelihara.

Setiap hambaNYA belum boleh dikira beriman selagi belum diuji dan Imam Al-Bukhari juga tidak sunyi dengan ujian. Kedengkian dan hasad dalam hati manusia sering menjadikan manusia bermusuhan sesama sendiri. Begitu juga dengan ego pemerintah yang berkuasa mengatasi akhlak dan wibawa beliau difitnah dengan amat teruk sekali sehingga ke penghujung hayatnya. Namun begitu, jasa dan pengorbananya amat tidak terhingga untuk generasi hari ini kerana tanpa jasa usaha beliau meninggalkan kitab-kitab tulisannya terutama dalam Kitab Sahih Al-Bukhari. Peninggalan hafalan 100 ribu hadis sahih dan 200 ribu hadis palsu amat meruntun jiwa dengan ketokohan beliau mencetuskan keinsafan dalam jiwa setiap muslim bukan sahaja dari segi ilmu malah dengan akhlak dan amalannya.

Comments

Popular posts from this blog

Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

12 Jenis Doa Iftitah

Takdir Allah Ta’ala di Dalam Ciptaan-Nya